Tuesday 14 May 2013

Rukun ISLAM dan Huraiannya

Di dalam Islam, wujud lima tiang seri yang menjadi asas kepada kekuatannya. Ia dinamakan ‘al-arkan al-Islam’ ataupun ‘rukun Islam’. Lima rukun itu ialah:

Mengucap dua kalimah syahadah
1) Mengucap dua kalimah syahadah

Mengucapkan dua kalimah syahadah bermaksud kesaksian terhadap dua perkara. Pertama, hanya Allah SWT sahajalah Tuhan yang wajib disembah dan ditaati. Kedua, mengakui setulusnya bahawa Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul yang dibangkitkan Allah SWT kepada kita.
Namun, tidaklah cukup jika kita sekadar mengucapkan dua kalimah syahadah ini, jika tidak memahami maksud dan tuntutan di sebalik pengucapannya. Bandingannya samalah seperti sighah (ijab dan kabul) semasa akad nikah dalam perkahwinan. Ucapan yang dilafaz itu, menatijahkan suatu tanggungjawab maha berat bagi sepasang suami dan isteri.

Pesan Rasulullah SAW: “Daripada ‘Itban bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tiada seorang pun yang mempersaksikan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan sesungguhnya aku adalah utusan Allah lalu ia masuk neraka ataupun neraka membakarnya.” (al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menjelaskan, mereka yang mengucapkan dua kalimah syahadah dengan penuh kefahaman dan ketulusan, maka ia dapat menyelamatkan mereka daripada bakaran api neraka. Sebaliknya, mereka yang berpura-pura sahajalah, yang akan menjadi bakaran neraka Allah, wal’iyazubillah!

Ucapan syahadah bukanlah ucapan biasa, ia disertai dengan tiga perkara yang akan menjadi pembeza iman dan kufur, iaitu:

i. Dikrarkan dengan lidah
ii. Ditasdikkan (diakui) dengan hati
iii. Dibuktikan dengan amal
Mendirikan solat lima waktu

2) Mendirikan solat lima waktu

Mendirikan solat lima waktu merupakan kewajipan paling utama. Ia jelas dipaparkan di dalam hadis-hadis Nabi Muhammad SAW, misalnya:

“Ajaklah mereka (penduduk Yaman) menyaksikan (syahadah) bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa aku utusan Allah. Jika mereka telah mematuhinya, maka ajarkanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka solat lima waktu sehari semalam.” (Hadis Daripada Muadz bin Jabal, riwayat Muslim)

Solat yang dididirikan dengan sempurna, maka dapat mencegah diri si pelakunya daripada cenderung melakukan maksiat dan menuruti hawa nafsu seksnya. Firman Tuhan:

“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Ankabut (29): 45).
Menunaikan zakat

3) Menunaikan zakat

Menunaikan zakat apabila cukup segala syaratnya. Zakat diindikasikan rukun ketiga, kerana ia sering digandingkan dengan solat demi menunjukkan Islam amat mengutamakan amalan ijtimai (kemasyarakatan) dalam kehidupan umatnya.

Nabi menyatakan: “Apabila yang demikian telah mereka lakukan (bersyahadah dan bersolat), sampaikanlah kepada mereka (penduduk Yaman) bahawa Allah mewajibkan mereka membayar zakat, diambil daripada orang-orang kaya lalu diberikan kepada orang-orang fakir,” (Hadis Ibn Abbas r.a, Riwayat Muslim)

Zakat adalah amalan yang mempunyai nilai ukhuwwah dan juga solidariti yang tinggi. Zakat juga mempunyai konotasi pembersihan harta, penyucian jiwa dan peningkatan peribadi yang terpuji. Orang yang istiqamah menunaikan zakat, maka mereka diberikan keberkatan dalam kehidupan di dunia dan keuntungan di hari akhirat yang tidak ternilai harganya.
Berpuasa Ramadan

4) Berpuasa Ramadan

Berpuasa di bulan Ramadan adalah rukun Islam yang bersifat mendidik jiwa. Allah SWT sendiri mejamin akan memberikan pahala yang tidak terhad jumlahnya kepada mereka yang berpuasa, kerana amalan ini bersifat ‘tersembunyi’ dan tidak dapat dilihat seperti solat, haji dan zakat. Hanya orang berkenaan sahaja yang tahu sama ada dia berpuasa atau tidak, puasa ‘yang yuk’ atau puasa apa maqamnya.

Rasulullah SAW menukilkan: “Semua amal anak Adam a.s dilipatgandakan kebaikan (pahala) dari 10 sampai 700 kali ganda; kecuali ibadah puasa. Ada pun puasa itu adalah untuk Allah s.w.t.. dan Dia akan terus memberikan pahala kepada sekalian (yang mengerjakannya),” (Riwayat Muslim)

Berpuasa mampu melentur nafsu agar tunduk kepada Allah SWT. Bahkan puasa juga adalah suatu kaedah paling baik mengawal perut, kerana di situlah punca segala penyakit.
Mengerjakan haji di Baitullah

5) Mengerjakan haji di Baitullah

Menunaikan haji di Baitullah adalah kemuncak kepada rukun Islam yang lima. Ia menjadi bukti agung keIslaman seseorang, namun hanya mereka yang mampu sahaja diwajibkan. Dengan menunaikan haji, maka lengkaplah sudah rukun Islam kita.

Dari Jabir bin Abdullah r.a, katanya: “Kami pergi haji dengan Rasulullah SAW, bersama-sama dengan wanita dan anak-anak. Setelah sampai di Mekah, kami tawaf di Baitullah, saie antara Safa dan Marwah…” (Hadis Riwayat Muslim)

Namun begitu, Nabi SAW sendiri hanya menunaikan haji sekali dalam usianya. Ini menunjukkan, yang penting bukan berapa kali ‘naik haji’ melainkan hikmah dan iktibar di sebalik perlakuan haji. Jika rukun Islam yang lain, lebih lembut dan sederhana sifatnya, namun haji adalah perlakuan ibadah yang menzahirkan kesepaduan, kekuatan ummah dan kehebatan individu muslim.

Sebab itulah haji mewajibkan ihram sebagai busananya, menzahirkan tubuh badan yang sihat dan kuat. Semuanya berihram, bukti kita ini hakikatnya sama sahaja tarafnya di sisi Allah SWT. Perlakuan haji juga memerlukan kekuatan tubuh badan, berlarian antara Safa dan Marwah, melontar ketulan batu, bermalam di Muzdalifah dan sebagainya.

Paling agung, haji adalah kongres umat Islam sedunia. Tempat saling kenal-mengenali, mencipta kekuatan ummah dan juga medan pernyataan emosi yang tidak terbatas. Apa lagi yang tidak dinamakan ‘demontrasi’ jika masing-masing mengelilingi Ka’abah dan berarak sambil mengucapkan talbiyah…Labbaikallahu malabaik!!!

Wallahua’lam.

SUmber: Ustaz Hamizul (Rukun ISLAM & Huraiannya).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...