Wednesday 4 September 2013

sifat orang cemerlang


Semua ibu bapa mahukan anak mereka cemerlang dalam semua aspek kehidupan. Mereka mahu anak mereka cemerlang dalam pelajaran hingga berjaya menggondol semua atau straight A dalam peperiksaan.
Pada masa yang sama mereka mahu anak mereka cemerlang dalam akhlak, sahsiah dan perhubungan sesama manusia. Kalau boleh mereka juga mahu anak mereka cemerlang dalam sukan, persatuan, penguasaan bahasa kedua, IT, mengurus kehidupan dan kerjaya.
Yang perlu memikul beban ini ialah anda sendiri. Sebab itu anda harus bersedia mulai sekarang untuk menjadi cemerlang. Anda tidak semestinya memiliki bakat semula jadi yang terlalu tinggi seperti orang lain yang telah berjaya dengan cemerlang. Namun anda harus mulai menghayati sifat-sifat orang cemerlang.
Apakah kayu pengukur kecemerlangan menurut perspektif Islam? Bolehlah kita ambil contoh kejayaan tokoh-tokoh Islam terdahulu dari sudut personaliti, keluarga, kerjaya, agama, sains, perubatan, ketamadunan, politik dan ekonomi.

FAKTOR KEJAYAAN
Apakah faktor kejayaan mereka sehingga mereka dikenali seantero dunia dan sumbangan mereka memberi kesan yang besar dalam kehidupan manusia? Tokoh Islam terdahulu telah terbukti mencipta sejarah kecemerlangan hingga diguna pakai hari ini.
Tokoh-tokoh yang berjaya ini mempunyai sifat cemerlang yang tiada tolok bandingnya. Antara sifat kecemerlangan mereka ialah:

Niat yang betul
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Setiap amalan adalah dengan niat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Sayidina Umar al-Khattab)
Oleh sebab itu, anda harus sentiasa memasang dan membetulkan niat sebelum memulakan apa jua pekerjaan, sama ada yang berbentuk ibadah mahu pun amal kebiasaan.

Keyakinan yang tinggi kepada Allah
Orang cemerlang meletakkan keyakinan bahawa Allah berserta dengan apa yang kita usahakan. Allah tidak menzalimi umatnya. Mereka banyak berdoa dan berserah kepada Allah setelah melakukan segala usaha keras untuk berjaya. Mereka juga berpegang kepada moto “Berpantang maut sebelum ajal.” Tidak ada sesuatu yang mampu menahan kehendak Allah s.w.t. Keyakinan ini mampu memantapkan rohani kepada tahap tinggi.

Ada wawasan dan matlamat
Anda harus meletakkan wawasan dan matlamat dalam hidup. Ada cerita tiga orang pekerja binaan. Apabila ditanya apakah wawasan atau matlamat mereka apabila bekerja:
Pekerja pertama berkata, “Saya nak cari makan.”
Pekerja kedua berkata, “Saya nak buat dinding bangunan.”
Pekerja ketiga berkata,”Saya hendak membina sebuah bandar yang indah dan permai.”
Ya, pekerja yang ketiga itu mempunyai wawasan dan matlamat yang betul. Namun sebagai seorang Islam, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Anda terikat dengan peraturan dan hukum-hakam Islam. Anda juga harus ingat bahawa matlamat duniawi anda mestilah berkaitan dengan kehidupan di akhirat.

Berani dan sanggup berkorban
Tokoh-tokoh Islam terdahulu sanggup untuk bersusah payah. Lihat sahaja sejarah hidup Imam al-Nawawi dalam menuntut ilmu. Beliau sentiasa menghabiskan masa dengan belajar, menulis, menghafal, solat dan bertasbih. Apabila mengantuk, beliau tidur sebentar sambil duduk.
Umar Abdul Aziz, khalifah yang ketiga dibunuh pada usia 40 tahun. Khalid al-Walid mengharungi 100 medan peperangan, membunuh 5,000 orang musuh dalam Perang Yarmuk serta mematahkan 9 bilah pedang. Ali bin Abi Talib berani beradu kekuatan dalam Perang Badar, membuka benteng Khaibar dan menyembelih Amru bin Wud dalam Perang Khandak.


Sentiasa menambah ilmu pengetahuan
Bagaimana tokoh terdahulu menguasai ilmu pengetahuan? Lihatlah bagaimana Imam Ahmad memberi fatwa kepada 60,000 permasalahan dengan disertai dalil. Lihat juga bagaimana Imam Abu Hanifah menjual sebahagian perabot rumahnya semata-mata digunakan untuk mencari ilmu.


Perhatian terfokus
Untuk cemerlang anda harus fokus kepada apa yang sedang anda lakukan. Lihat sahaja bagaimana Jabir bin Abdullah sanggup menempuh perjalanan selama sebulan ke Mesir semata-mata mencari sepotong hadis.
Kuasa fokus mampu menghasilkan kejayaan yang cemerlang seperti kuasa cahaya matahari yang difokuskan oleh kanta cembung yang mampu menukarkan tenaga cahaya matahari kepada tenaga api.

Disiplin yang tinggi
Orang yang berdisiplin tinggi bekerja dengan sistematik. Mereka mempunyai rutin harian yang mantap. Disiplin yang tinggi mampu mengawal diri untuk menghasilkan keputusan yang cemerlang. Lihat sahaja disiplin Imam al-Bukhari yang menghasilkan kitab sahihnya dalam masa 16 tahun. Setiap hadis yang hendak ditulis dimulakan dengan mandi sunat dan solat sunat 2 rakaat!

Bersifat warak
Orang yang warak sentiasa bersiap sedia untuk menuju ke alam akhirat. Namun sifat ini tidak sekali-kali meninggalkan kepentingan duniawi. Abu Thalhah al-Ansari berpuasa 40 tahun berturut-turut. Imam Bukhari pernah berkata,”Aku tidak pernah berdusta sejak akil baligh.” Imam Syafii pula berkata,”Aku tidak pernah bersumpah demi Allah, sama ada benar atau dusta.”
Pemurah juga merupakan salah satu sifat warak. Abu Bakar al-Siddiq menginfakkan seluruh hartanya untuk perjuangan Islam. Uthman bin Affan pula membeli telaga Rum kepunyaan seorang Yahudi di Madinah untuk umat Islam.

Sabar
Untuk mencapai kecemerlangan kita harus bersabar. Kejayaan tidak mungkin berhasil semalaman. Cuba bayangkan bagaimana Ibn Hajar mengarang kitab Fath al-Bari dan Muqaddimah dalam tempoh 32 tahun dan Abu Ubaid pula mengarang kitab al-Gharib dalam masa 40 tahun!

Ada motivasi dan inisiatif diri yang tinggi
Orang yang berjaya bersungguh-sungguh dalam melakukan apa jua pekerjaan. Tiada sifat malas dalam kamus kehidupan mereka. Untuk cemerlang anda perlu berusaha ke tahap optimum. Mengikut sejarahnya Abu Ishaq al-Syirazi mengulang-ulang pelajarannya sebanyak 100 kali, dan mempelajari setiap tajuk sebanyak 1,000 kali dan menulis 100 jilid buku.

Mengikut dan mencontohi orang yang telah berjaya
Kita mudah mengikut jalan yang telah ditempuh oleh tokoh yang telah berjaya. Metodologi yang diguna pakai telah terbukti berkesan. Cuba teliti sejarah dan biografi hidup mereka. Ibn Sina sendiri membaca buku al-Farabi sebanyak 40 kali sebelum menghasilkan karya agungnya.

Mempunyai daya tahan yang tinggi
Untuk berjaya kita juga harus bekerja dengan lebih keras dan komited. Jangan cepat menyerah kalah. Gunakan masa pada tahap optimum. Setiap pekerjaan hendaklah dilakukan dengan istiqamah iaitu kerja yang berterusan (consistence).

Tekun dan cekap membina kerjaya
Kejayaan meniti atas kerjaya kita. Sebab itu kita hendaklah membina kerjaya dengan mantap. Sedangkan Nabi Idris a.s. bekerja sebagai tukang jahit, Nabi Daud a.s. bekerja sebagai tukang besi dan Nabi Musa a.s. bekerja sebagai penggembala kambing. Imam Abu Hanifah pula bekerja sebagai penjual kain. Anda mungkin memandang enteng terhadap kerja-kerja ini, namun kerja inilah yang telah mengukir sejarah hingga ke hari ini.

Mengembara dan mengambil pengajaran
Untuk cemerlang anda harus berfikiran terbuka. Anda harus banyak berjalan dan berfikir. Zubair al-Awwam merintis jalan ke negeri China dengan meninggalkan segala harta di Madinah akhirnya meninggal dunia di China. Ibnu Battuta pula mengelilingi dunia selama 30 tahun.

Menggunakan masa muda
Sebagai remaja anda harus menggunakan masa muda anda hingga ke tahap optimum seperti kata kumpulan nasyid Raihan dalam lagunya, Demi Masa. Ibn Taimiyah dilantik menjadi mufti ketika berusia 18 tahun. Muhammad bin al-Qasim menjadi panglima perang pada usia 17 tahun. Imam al-Ghazali pula menghafal al-Quran pada usia 6 tahun dan menjadi ulama besar pada usia 9 tahun!

Melaksanakan sifat atau akhlak terpuji (mahmudah)
Untuk menjadi orang cemerlang anda harus amanah dan jujur dalam semua aspek pekerjaan. Dua peristiwa penting berlaku pada zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab. Pertama ketika beliau bertemu dengan seorang budak penggembala kambing dan berpura-pura untuk membeli seekor kambing tanpa diketahui tuan punya kambing. Budak itu enggan melakukannya kerana sifat amanahnya.
Peristiwa kedua ialah ketika beliau terdengar perbualan seorang anak perempuan dengan ibunya yang menyuruh anaknya mencampurkan air pada susu supaya dapat keuntungan yang berlipat ganda.
Anak itu enggan, katanya, “Bukankah Sayidina Umar berkata jangan menipu.”
Balas ibunya, “Sayidina Umar tidak ada di sini. Dia tidak tahu.”
Anaknya membalas, “Kalau pun beliau tidak tahu, Allah tetap tahu.”

Bekerja secara berpasukan
Orang yang berjaya melakukan kerja secara berpasukan (team work). Semangat berjemaah mereka tinggi. Mereka memiliki semangat kekeluargaan dalam organisasi. Apabila melakukan sesuatu tugasan mereka melaksanakan semangat perbincangan (syura atau consultation) yang harmoni dan berkesan.

Meningkatkan kemahiran
Orang cemerlang mempelajari pelbagai kemahiran dan kepakaran. Otak manusia biasa mampu memiliki hingga 120 jenis kemahiran. Kemahiran mengisi masa lapang anda. Sebab itu ada ahli motivasi berkata, “Untuk melihat kecemerlangan seseorang, lihat apa yang dilakukan pada masa lapangnya.”
Antara kemahiran diri yang perlu ditingkatkan ialah kemampuan berkomunikasi dengan baik (perhubungan awam), menguasai bahasa kedua dan ketiga, teknologi maklumat, pengurusan diri, pengurusan kewangan, DIY (do-it-yourself), mengemas rumah, menulis, mencari sumber pendapatan kedua dan ketiga dan sebagainya.

Sentiasa muhasabah diri
Akhirnya orang yang cemerlang sentiasa menilai dan membaiki kelemahan diri. Prinsip hidup mereka ialah seperti Sayidina Abu Bakar al-Siddiq yang berkata atau melakukan setiap perbuatan pada hari ini lebih baik daripada semalam dan seterusnya.

Kesimpulan
Orang yang hendak jadi cemerlang tidak perlu sentiasa bersusah hati dengan mengukur tahap kecemerlangan mereka secara fizikal. Ibarat sebuah empangan, apabila semua anak-anak sungai dari hulu atau gunung mengalirkan air ke dalamnya, lama-kelamaan empangan itu akan penuh. Maksudnya jika kita menghiasi hidup kita dengan sifat-sifat orang cemerlang seperti yang disebutkan dalam rencana ini, sudah tentu diri anda akan menjadi cemerlang tanpa anda sentiasa berasa bimbang takut-takut diri anda tidak cemerlang.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...