Perkongsian ilmu agama,as sunnah,dakwah,ukhwah,tips,motivasi,cinta dan pelbagai ilmu bermaafaat ^_^
Thursday, 31 January 2013
RASA SUNYI SEKEPING HATI
Sejak awal ketika memasuki masjid saya sudah melihatnya. Cuma kami berdua. Jadi, saya rasa kami saling menyedari kehadiran masing-masing. Selesai solat, dia solat lagi. Kemudian tafakur atau berzikir.
Tak lama kemudian, terus membaca Al Quran. Begitulah keadaannya. Saya tidak ingat berapa lama dia dalam keadaan begitu kerana saya juga sibuk dengan hal sendiri. Memang beginilah rutin pagi saya. Jika terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas, saya akan singgah di mana-mana masjid untuk iktikaf sambil melaksanakan tugasan atau menulis seadanya.
Beberapa lama kemudian, tanpa saya sedari dia sudah berada di sebelah saya. Setelah saling bersalaman, menegur dan takruf, kami mula berbual.
“Apa yang ustaz tulis dalam blog baru-baru ini telah menimpa saya,” katanya dengan wajah suram. Rupa-rupanya dia mengikuti tulisan dalam buku, majalah, blog dan FB saya.
“Entri yang mana?” tanya saya pinta kepastian.
“Tajuknya, ujian cinta… Kebetulan cinta saya sedang diuji. Sakit.”
“Mengapa?”
“Isteri saya telah meninggalkan rumah kami kerana memburu cinta barunya!”
Saya benar-benar terkejut. Bayangkan, lelaki yang berada di hadapan saya sekarang bukan muda. Dia telah berusia. Malah lebih tua daripada saya. Sejak awal perbualan kami dia telah memaklumkan usianya… 65 tahun! Dalam hati saya sudah terbayang, ini mesti kes isteri muda meninggalkan suami tua.
“Berapa umur isteri tuan?” tanya saya untuk mendapat kepastian.
“53 tahun,” jawabnya. Saya tambah terkejut. Wah, ini luar biasa. Cinta baru ‘orang lama’.
“Dia terpaut dengan teman sepejabatnya. Dia menuntut fasakh daripada saya sejak setahun lalu.”
“Alasannya?”
“Penderaan mental!”
Saya terdiam. Bunyi kipas di dinding masjid itu sahaja yang menemani kami. Sepi. Sungguh sunyi… rumah Allah pada waktu-waktu begini. Mungkin, sesunyi hati seorang lelaki yang kehilangan cintanya.
“Tuan tidak melepaskannya?”
“Tidak akan. Saya akan terus bertahan. Walaupun sekarang menuntut cerai di mahkamah dan telah pun lari dari rumah.”
“Subhanallah!” saya terpaku kaku menghadapi realiti rumah tangga masa kini. Sangat ‘daring’ rupanya karenah manusia yang bercinta. Benarlah seperti yang pernah saya tuliskan dulu: Jika tepat pada masa, ketika dan siapa, cinta adalah satu kuasa luar biasa yang tidak ada tandingannya. Sayangnya, ‘kuasa luar biasa’ itu sering disalah gunakan. Kuasa yang luar biasa itu sering membawa kemusnahan. Media massa melaporkan betapa ramai remaja wanita Melayu paling ramai lari dari rumah mengikut kekasih hati, lahirnya ramai anak luar nikah angkara cinta zina, bayi dibuang merata-rata akibat cinta terlarang… dan kini, cinta telah meruntuhkan rumah tangga manusia yang telah bergelar datuk dan nenek.
“Apa yang boleh saya buat ustaz? Pujuk telah dipujuk. Marah sudah dimarah. Namun dia tidak mahu kembali…”
“Selalu ke masjid macam ni?” kilas saya untuk memberi ruang pada diri untuk merasa dan berfikir. Ini bukan soalan mudah. Tetapi ia menagih empati tahap tinggi yang benar-benar terpantau dari dalam hati nurani yang paling suci. Sesungguhnya, saya tidak mampu.
“Sejak akhir-akhir ini, beginilah saya ustaz. Harta walaupun tidak lumayan tetapi sudah dikira lebih daripada cukup. Saya tak perlu bekerja lagi. Semua cukup. Segala-galanya berjalan dengan baik sekiranya tragedi ini tidak menimpa…” keluhnya.
“Mengapa tiba-tiba ini terjadi?” soalnya lagi.
“Allah takdirkan segala-galanya untuk kita kembali kepadaNya. Saya rasa inilah jawapannya pada soalan yang awak tanyakan. Ingat lagi cerita ‘Wak’ dalam entri itu? Dia kembali kepada cinta Allah. Jangan ada dendam. Jangan ada marah… walaupun kita rasa ditipu dan dikecewakan. Usahakan kembali untuk mendapat cintanya, tetapi jika sudah ditemui jalan buntu. Berfikirlah semula… solat Istikharah, apakah perlu perkahwinan ini diteruskan?”
“Ustaz rasa patut saya ceraikan dia?”
“Saya tidak mampu membuat keputusan bagi pihak awak. Awak lebih faham situasi yang sedang dihadapi. Lagipun saya tidak mendengar daripada pihak yang lagi satu. Mahkamah yang lebih berhak untuk memutuskannya. Kita sekarang di masjid, untuk mencari ketenangan bukan mencari keadilan. Ketenangan untuk menghadapi ujian hasil akrabnya perhubungan dengan Allah – Tuhan yang mengurniakan ujian itu untuk kita.”
“Apa pesan ustaz?”
“Pesan saya ialah pesan yang selalu saya bisikan pada diri saya sendiri… jagalah Allah, Allah akan jaga kita. Allah lebih besar daripada masalah kita. Pintalah kepada Allah agar memutuskan sesuatu yang baik buat kita walaupun keputusan itu nanti mungkin berlawanan dengan apa yang kita inginkan!”
“Saya sepi ustaz…”
“Kita akan sepi bila hati kita sepi dengan Ilahi. Bila terpisah dengan Allah, kita akan sunyi walaupun semua orang yang tersayang masih di sisi. Kita boleh kehilangan seorang isteri, tetapi kita tidak mampu ‘kehilangan’ Allah dengan melupakan-Nya.”
“Isteri saya akan kembali?”
“Itu tidak pasti. Hati orang… mana mungkin kita menentukannya. Tetapi yang pasti, tuan telah kembali. Kembali kepada Allah, kembali ke rumahNya ini… hati orang yang berada di rumah Allah tidak akan sunyi.”
Saya teringat bagaimana Rasulullah SAW sendiri mengasingkan diri di tingkat atas masjid Nabawi ketika baginda diuji oleh ragam isteri-isterinya. Begitulah tawaduknya baginda. Baginda pun kembali kepada Allah sewaktu diuji. Lantaran itu, Allah telah menurunkan surah Al Tahrim ayat 5, sebagai penghibur kepada jiwanya. Firman Allah itu bermaksud: “Jika nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.
Ya, kehilangan acap kali menemukan kita kepada sesuatu yang lebih berharga. Itulah ajaibnya cinta Allah dalam hati hamba-Nya. Hati suami yang mencintai Allah selamanya tidak akan sunyi. Sekiranya dia benar-benar mencintai Allah, dia akan tenang, sama ada ketika isteri masih di sisi atau sudah tiada lagi. Justeru, apabila diuji, kembalilah ke rumah Allah, dan jangan lupakan doa ini: ”Ya Allah, berikanlah cintaMu kepada ku dan jadikanlah aku mencintai orang yang mencintaiMU dan mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaanMu. “
Waktu menghampiri jam 11 tengah hari. Saya terpaksa pergi. Ketika melangkah ke luar masjid, mata saya sempat melirik ke arah lelaki tersebut. Dia masih duduk bersimpuh di sana, dengan Al Quran yang terus terbuka di tangannya. Ya Allah, Kau berikanlah ketenangan buat hatinya yang sunyi. Berikanlah kepadanya cintaMU yang sejati! Agar, kami tidak menjadi lelaki-lelaki yang sunyi. Amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment