Friday 15 March 2013

Fiqh Sirah:Acuan Tarbiyah



muslim 300x300 Fiqh Sirah:Acuan TarbiyahFiqh Sirah | Malam itu sepi. Ketika makhluk sedang nyenyak dibuai mimpi, tiba-tiba kedengaran sebuah teriakan dari gurun yang mengejutkan seorang saudagada dari lenanya: “Wahai manusia yang tidur! Bangunlah kerana sesungguhnya Ahmad telah datang ke Mekah!
Ahmad? Siapa itu?’ getus hatinya kebingungan.
Saudagar itu adalah Uthman bin ‘Affan yang sedang dalam perjalanan pulang dari Syria. Misteri teriakan tersebut terus menyelubungi beliau. Belum pun tiba di Mekah, Uthman terserempak dengan Talhah bin Ubaidillah. Tanpa Uthman sedari, Talhah juga menyimpan suatu misteri yang masih belum terungkai. Misteri pertanyaan daripada seorang rahib yang ditemuinya dalam perjalanan dari Bostra: “Adakah Ahmad sudah muncul di Mekah?
Siapa Ahmad?” tanya Talhah kepada rahib tersebut.
Beliau ialah anak kepada anak Abdul Mutalib yang bernama Abdullah,” jawab si rahib. Sambungnya lagi, “Pada bulan inilah beliau akan tiba dan beliau adalah yang terakhir dari kalangan para Nabi.
Persoalan penuh tanda tanya dan misteri itu membingungkan Talhah dan Uthman. Talhah pun berkata kepada Uthman, “Aku rasa, eloklah jika kita selidik perkara ini daripada sepupu aku, Abu Bakar. Dia bukan sahaja tahu tentang hal ehwal penduduk Mekah, malah dia kenal sangat susur-galur keturunan mereka.”
Mereka berdua pun pergi berjumpa Abu Bakar yang serta-merta membawa mereka bertemu Muhammad S.A.W. Begitulah detik hidayah menyelinap ke dalam jiwa dua sahabat Baginda.


Golongan terawal menerima Islam (as-Sabiqun al-Awwalun)
Talhah bin Ubaidillah dan Uthman bin ‘Affan adalah antara 10 manusia paling awal memeluk Islam. Allah telah memberikan hidayah kepada mereka lantas kerana fitrah ingin tahu, Abu Bakar R.A telah berperanan mendakwah mereka secara tidak langsung.
Boleh jadi kita menduga bahawa golongan yang pertama-tama menyahut seruan Nabi Muhammad S.A.W adalah orang-orang tua yang kehidupannya sangat membosankan. Dugaan itu sama sekali meleset. Yang sebenarnya, kebanyakan pendokong dakwah Baginda adalah golongan muda remaja yang berumur bawah dua puluhan. Contohnya Zubayr al-Awwam, Saad bin Abi Waqas, ‘Abdullah bin Mas’ud, Abdul Manaf bin Asad atau lebih dikenali sebagai al-Arqam ibn Abi Arqam dan ramai lagi. Kalaupun ada yang tua pada waktu itu ialah Abu Bakar sendiri yang umurnya hampir sebaya dengan Nabi Muhammad S.A.W.
Barangkali kita juga akan tergamam apabila mendapati bahawa profil golongan awal ini kebanyakannya adalah saudagar kaya-raya yang boleh memiliki semuanya – harta, kemewahan, keempukan hidup – semuanya seperti semudah memetik jari sahaja!
Itulah gambaran as-Sabiqun al-Awwalun. Merekalah:
  1. Golongan tampan dan gagah bergaya, tapi tidak perasan diri.
  2. Cerdik dan berdaya intelek tinggi, tetapi tidak memnyombongkan diri atau meremehkan orang lain.
  3. Kaya-raya, tetapi tidak memboroskan harta, bermegah-megah atau hidup berfoya-foya.
Dan kita…?
Eh, aku memang Muslim sejak lahir tau? Mak bapak aku memang Islam lah!
Mane ade aku clubbing! Sumpah!!! Arak lagilah aku tak pernah minum! Awek pun takde… Rilek la, aku mabuk game jer kot.
Tengok wayang sekali-sekala ok ape?
Eh, kenapa ko nak kecoh lak? Suka hati akulah nak beli Nintendo ke, beg tangan ‘Coach’ ke! Aku mampu la weh!
Begitulah bezanya nilai Islam kita dan para sahabat. Tatkala kita memilih untuk hidup senang, para sahabat pula begitu berkobar-kobar mencari susah. Kita terlalu asyik dengan keselesaan yang ada – kesejukan air-cond, kemanisan air bandung, kelajuan internet, keseronokan shopping, kesedapan ayam Kenny Roger’s, keoseman lagu-lagu dalam iPod Touch dan macam-macam lagi! Kita merasakan bahawa diri sudah terselamat kerana sudah menyatakan keislaman dengan mengucapkan syahadah! “Ye la… Bukan ke semua tu halal? Ape salahnya?
Sungguh santai lagi mendamaikan sikap kita ini. Agaknya para sahabat dulu tak cukup kuat ketahanan psychology kot. Dapat je ajaran Islam, semuanya jadi stress? Kan kan kan?
As-Sabiqun al-Awwalun yang sentiasa mendekat
Baik Abu Bakar yang sudah sedia suci fitrahnya sebelum Islam, mahupun Umar yang bengis dan ganas atau Uthman bin ‘Affan yang tersangat sopan, atau Abu Ubaidah al-Jarrah yang sangat terpercaya – semuanya sering merasakan kekurangan sesuatu untuk boost iman masing-masing. Lantas, mereka akn cuba mencari kesempatan untuk berdamping dengan Rasulullah S.A.W.
Para sahabat sering berkumpul untuk saling membayangkan habuan syurga di akhirat. Mereka bertemu untuk saling mengingatkan tentang bahaya yang mengelilingi mereka, kerana adanya nafsu dalam diri – suatu potensi tersembunyi yang mampu mengganas jika tidak dikawal sebaiknya. Mereka dididik oleh Rasulullah S.A.W bahawa di kiri kanan mereka ada syaitan yang berbisik pada nafsu, lalu menghiaskan semua perbuatan haram sebagai ‘lazat’ dan perbuatan lalai sebagai ‘tidak mengapa’. Mereka saling nasihat-menasihati dalam perkara-perkara yang boleh menjauhkan mereka daripada ganjaran syurga Allah S.W.T.
Itulah antara bentuk tarbiyah yang mereka lalui dengan rela tanpa culas, tarbiyah yang mengembangkan potensi diri mereka, membaiki kelemahan mereka, menghidupkan visi mereka, menyuburkan jiwa dan minda mereka serta memantapkan kebagusan fizikal mereka. Generasi awal ini dicorakkan oleh Rasulullah S.A.W mengikut celupan yang dikehendaki Allah, lalu mereka mencetak pula generasi-generasi berikutnya mengikut warna dan corak celupan rabbaniyah yang sama. Itulah konotasi makna sibghah (celupan) seperti dalam firman Allah S.W.T (maksudnya):
Sibghah Allah, siapa yang lebih baik sibghahnya daripada Allah?” (al-Baqarah: 138)
Jadi, kita pula bagaimana? Apakah diri kita sudah dicelup dengan sebaik-baik celupan? Moga yang telah berlalu akan menjadi titik tolak perubahan kita untuk menjadi seperti generasi as-Sabiqun al-Awwalun ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...