Daripada Abu Ayyub al-Ansari, pada malam Israk Baginda Nabi SAW berlalu melintasi Nabi Ibrahim a.s.. Baginda lalu bertanya, "Siapakah orang yang bersamamu itu wahai Jibrail?" Jibrail menjawab, "Ini Muhammad."
Nabi Ibrahim lalu berkata, "Wahai Muhammad, perintahkan umatmu untuk memperbanyak menanam pokok di Syurga kerana tanahnya sangat subur dan kawasannya sangat luas."
Nabi SAW bertanya, "Bagaimanakah menanam pokok-pokok di Syurga?"
Nabi Ibrahim menjawab, "Ucapkan kalimah 'la hawla wa la quwwata illa billah.'"
Hadis ini diriwayatkan dan disahihkan oleh Ibn Hibban.[1]
Menempah Rumah di Syurga
Syurga ialah tempat kediaman terakhir bagi hamba-hamba Allah SWT yang berbakti. Hadis di atas mengisyaratkan bahawa kita sendiri yang akan membangunkan tempat kediaman tersebut.
Sesiapa yang menginginkan rumah yang megah dengan taman-taman yang indah di Syurga, dia boleh menempahnya dari sekarang.
Harga yang diminta bukanlah wang ringgit ataupun emas permata, akan tetapi amal soleh dan zikir yang kita lakukan. Amalan inilah yang akan menjadi bahan bagi pembinaan rumah-rumah di Syurga.
Al-Hafiz Ibn Abi al-Dunia meriwayatkan daripada Hakim al-Ahmasi, "Aku mendengar bahawa Syurga dibina dengan zikir. Apabila zikir itu terhenti, maka berhenti jugalah malaikat yang bekerja membangunkannya. Apabila mereka ditanya, "Mengapa kamu berhenti bekerja?" Mereka menjawab, "Kami sedang menunggu bahan-bahannya."
Pada masa ini, semua para pekerja binaan itu sedang giat bekerja. Apabila telah selesai semua yang hendak disiapkan, pemilik rumah pun dijemput untuk mendiaminya.
Ibn Rajab al-Hanbali bercerita, suatu hari seseorang yang soleh berjumpa malaikat dalam mimpinya. Malaikat itu berkata, "Kami diperintahkan untuk menyelesaikan rumahmu di Syurga. Rumah itu diberi nama "Vila Kebahagiaan" (Dar al-Surur). Kami telah membina dan menghiasnya dengan sangat indah. Khabar gembira untukmu, setelah tujuh hari nanti rumah itu akan sempurna dibina." Tujuh hari kemudian, orang soleh itu meninggal dunia.
Zikir dan Pohon Syurga
Hadis ini dan beberapa hadis yang lain mengatakan bahawa pokok-pokok yang menghiasi taman-taman Syurga dibuat daripada zikir-zikir yang dibaca oleh manusia.
Daripada Jabir, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Sesiapa yang membaca "Subhanallah al-azim wa bihamdih', maka akan ditanamkan baginya pokok kurma di Syurga."[2]
"Sesiapa yang membaca "Subhanallah al-azim wa bihamdih', maka akan ditanamkan baginya pokok kurma di Syurga."[2]
Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah, suatu hari Rasulullah SAW melihatnya sedang menanam pokok. Baginda lalu bersabda, "Apa yang engkau lakukan wahai Abu Hurairah?" Beliau menjawab, "Aku sedang menanam pokok, wahai Rasulullah."
Baginda bersabda, "Mahukah engkau aku tunjukkan tanaman yang lebih baik daripadanya?" Abu Hurairah menjawab, "Ya, wahai Rasulullah."
Baginda SAW bersabda, maksudnya:
"Ucapkanlah: 'Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar', nescaya akan ditanamkan bagimu dengan setiap kalimah itu sebatang pokok di Syurga."[3]
"Ucapkanlah: 'Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar', nescaya akan ditanamkan bagimu dengan setiap kalimah itu sebatang pokok di Syurga."[3]
Menurut ramai ulama, makna zikir di sini bukanlah terbatas pada aktiviti lisan sahaja. Namun ia meliputi pelbagai ibadah yang dilakukan oleh manusia termasuklah aktiviti menuntut ilmu.
Said bin Jubair, seorang pakar tafsir dalam kalangan tabiin di Makkah berkata, "Zikir ialah dengan mentaati segala perintah Allah SWT. Sesiapa yang tidak taat kepada Allah SWT, maka ia tidak dikira meskipun ia memperbanyak tasbih, tahlil dan bacaan al-Quran."
Tokoh tabiin yang lain, bernama 'Ata' bin Abi Rabah berkata, "Majlis zikir ialah majlis halal dan haram, bagaimana berjual beli, solat, puasa, kahwin, cerai, haji dan yang seumpama dengannya."[4]
Wangian daripada Pelbagai Minyak Wangi
Abu Hazim Salah bin Dinar berkata, "Barang-barang Akhirat pada saat ini sedang murah. Pada suatu hari nanti, barang-barang ini akan menjadi sangat mahal dan tidak mampu dibeli."
Benarlah ucapan beliau. Selama mana nyawa masih dikandung badan, sungguh mudah membangunkan rumah idaman anda di Syurga. Ia tidak memerlukan pembiayaan yang banyak. Dengan hanya mengucap tasbih dan tahlil, kita telah menanam pokok di taman-taman Syurga abadi.
Oleh sebab itu, orang yang berakal tidak akan melepaskan kesempatan yang sangat besar ini. Mereka akan berusaha untuk membangunkan kediaman mereka di Syurga dengan seindah-indahnya. Yakni, dengan memperbanyak melakukan ibadah sunnah dan zikir setiap masa.
Salah seorang tokoh tabiin yang memiliki kisah yang sangat indah dengan zikir ialah Abdullah bin Ghalib di Kufah. Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitab al-Zuhd bahawa Abdullah tidak pernah berhenti menyebut nama Allah SWT dalam setiap keadaan. Walaupun sedang dalam perbincangan dengan seseorang, beliau tetap tidak menghentikan zikirnya.
Sa'id bin Zaid berkata, "Ketika Abdullah bin Ghalib terbunuh, kami meletakkannya di dalam kubur lalu menanamnya. Tiba-tiba keluar dari tanah kuburnya wangian daripada pelbagai minyak wangi."
Malik bin Dinar berkata, "Aku pergi mengambil sebahagian daripada tanah itu lalu meletakkannya di dalam kantung. Aku terus-menerus mencium bau wangi tersebut meskipun selepas beberapa hari."
Indahkan Rumah di Akhirat
Saya selalu berpesan, "Jangan meninggal dunia sebelum kita pasti rumah yang akan kita diami di Akhirat benar-benar selesa untuk kita tinggal kerana kehidupan Akhirat kekal abadi.
Jika rumah Akhirat itu tidak selesa untuk kita, maka kita akan hidup kekal dalam ketidakselesaan.
Untuk itu, marilah kita memperbanyak ibadah sunnah dan zikir. Setiap kali mengucapkan tasbih, pada hakikatnya, kita sedang menahan sebuah pokok di Syurga. Semakin banyak zikir yang kita ucapkan, semakin hijau dan rendang taman-taman tersebut.
Semoga Allah SWT meringankan lidah-lidah kita untuk berzikir menyebut nama-Nya agar semakin indah dan hijau kediaman kita di Syurga abadi kelak. Amin ya Rabbal 'alamin.
______________
Catatan Kaki:
1. Riwayat Ibnu Hibban, al-Raqaiq no. 818.
1. Riwayat Ibnu Hibban, al-Raqaiq no. 818.
2. Riwayat at-Tirmizi, kitab al-Da'awat no. 3464. Beliau berkata: "Ini hadis hasan sahih gharib. Kami tidak mengetahuinya melainkan daripada hadis Abu al-Zubair daripada Jabir.
3. Riwayat Ibnu Majah, kitab al-Adab no. 3707. Dalam sanadnya terdapat Abu Sinan: Isa bin Sinan al-Qamisli. Beliau seorang perawi yang lemah.
4. Dinukil oleh Imam al-Nawawi dalam al-Azkar, Beirut: Muassasah al-Risalah, hal. 27.
No comments:
Post a Comment