Sunday, 17 February 2013

AHLI SUFI



JOM KENAL AHLI SUFI:)

Dalam kelas Harfiah petang tadi, Ustaz telah menerangkan bahawa Allah swt menganugerahkan banyak keistimewaan keistimewaan yang luar biasa kepada ahli ahli sufi atau wali wali Allah. Mereka ahli ahli sufi atau wali wali Allah pada waktu dahulu zuhud belaka. Cinta mereka kepada Allah swt melebihi segala yang duniawi. Setiap detik dengupan jantung mereka, setiap naik turun nafas mereka, sentiasa dalam ingatan kepada Allah yang esa. Ada yang hanya makan tiga hari sekali kerana asyik sibuk berzikir mengigati Allah swt. Itu pun makan ala kadar.

Berbeza dengan kita yang makan tiga kali sehari.

Ustaz kemudian bercerita mengenai seorang lelaki pada satu masa dahulu di kota Baghdad yang amat anti sufi. Dia suka memperlekeh segala apa yang didengarnya mengenai ahli sufi terutamanya seorang ahli sufi yang bernama Bashir Al Hafi (tak pasti ejaannya). Bashir mendapat gelaran Al Hafi - Berkaki Ayam kerana zuhudnya hidupnya sehingga tidak perlu pada alas kaki. Sebelum ini Bashir Al Hafi adalah seorang jutawan yang kaya raya tetapi hidup pun kaya dengan dosa dan maksiat. Ditakdirkan Illahi dia telah mendapat hidayah maka berubahlah dia sehingga menjadi seorang sufi.

Lelaki ini ingin tahu apakah benar cerita cerita yang didengarinya mengenai Bashir Al Hafi dan mengambil keputusan untuk mengekori dan memerhatikan gerak gerinya. Dia mendapat satu kesempatan apabila dapat Solat Jumaat di sebuah Masjid di kota Baghdad bersama Bashir Al Hafi. Dilihatnya biasa sahaja solat Bashir Al Hafi dan sebaik habis solat Bashir Al Hafi bergegas keluar dari Masjid. Diekorinya.

Lelaki itu melihat Bashir Al Hafi membeli roti dan roti itu pula roti mahal!! Kemudian dia beli pula kebab daging kambing. Heh! Sufi apa ke namanya ni dan zuhud kononnya, tetapi kenapa beli yang mahal mahal? Tempeleknya dalam hatinya sendiri. Lelaki itu terus mengekori Bashir Al Hafi ke sebuah perkampungan di luar kota Baghdad yang mengambil masa kira kira 10 minit perjalanan.

Dalam kampung itu ada sebuah Masjid lama dan di dalamnya ada seorang lelaki yang amat tua sedang terbaring. Lelaki itu melihat Bashir Al Hafi menyuapkan sedikit demi sedikit makanan yang dibeli di kota Baghdad tadi. Rupa rupanya makanan itu adalah untuk orang tua ini. Lelaki itu kemudian leka kerana mengeliling Masjid lama itu sambil melihat lihat sekelilingnya. Kemudian dia dapati Bashir Al Hafi telah tiada di samping orang tua itu.

Orang tua yang terbaring itu berkata kepada lelaki itu bahawa Bashir Al Hafi telah pulang ke kota Baghdad. Lelaki itu seterusnya bertanya bagaimana hendak pulang ke kota Baghdad kerana inilah pertama kali dia ke kampung itu. Orang tua itu berkata bahawa perjalanan dari kampung itu ke kota Baghdad mengambil masa kira kira 10 hari!!

Lelaki itu panik kerana dia telah ke kampung itu selepas solat Jumaat dan tidak membawa wang atau apa apa persiapan untuk meredah Padang Pasir selama 10 hari!! Orang tua itu berkata dia boleh tunggu di situ sehingga Jumaat seterusnya kerana Bashir Al Hafi akan melawatnya setiap Jumaat.
Bila tiba Jumaat seterusnya dan tepat pada waktunya muncullah Bashir Al Hafi seperti biasa dengan makanan untuk orang tua itu. Lelaki itu pun mengikut Bashir Al Hafi pulang ke kota Baghdad, dalam masa 10 minit dia pun tiba di rumahnya dan dimarahi oleh isterinya kerana tidak tahu di mana dan apa yang telah terjadi pada suaminya selama tujuh hari itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...