Monday, 15 April 2013

Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab, Taharah,






Taharah terbahagi kepada dua bahagian. Bersuci dari hadas yang khusus dan bersuci dari kotoran yang melibatkan pakaian,tempat dan badan. Jika bersuci dari hadas,maka tidak boleh lari dari dua unsur iaitu tanah dan air.  Perbahasan ini dimulakan dengan jenis air…
Air terbahagi kepada 3 jenis iaitu air yang suci lagi menyucikan(mutlak),air suci tetapi tidak menyucikan(mustakmal) dan air yang bernajis(mutanajis).
Air mutlak adalah air yang terpancar dari bumi atau air yang turun dari langit.
Air mustakmal ialah air yang boleh diminum dan digunakan untuk memasak tetapi tidak sah sekiranya digunakan untuk mengangkat hadas (bersuci) dan membuang najis,kecuali ulama Hanafiyah mengatakan air ini sah digunakan untuk membuang najis.
Maksud pada air mustakmal di atas adalah air yang telah bercampur dengannya benda yang suci seperti teh atau susu. Juga termasuk air ini adalah air yang telah digunakan untuk mengngkat hadas.
Air mutanajis adalah air dalam jumlah sedikit yang telah bercampur dengan najis. Sedangkan jika airnya banyak tetapi air tersebut telah mengubah 1 dari 3 sifat air iaitu rasa,bau dan warnanya,maka air tersebut tetap hukumnya bernajis.

Anda Bertanya Ustaz Azhar Idrus Menjawab, Taharah. Tekan mana-mana yang dibawah untuk lihat soalan dan jawapan yang ada.


Soalan:
Seorang menyapu minyak wangi tanpa alkohol pada tangan, kemudian mengambil air sembahyang. Apakah solatnya sah sedangkan baunya masih ada pada tangan
Jawapan:
Sekiranya wangian itu adalah jenis yang tidak menghalang air sampai ke anggota wuduk, wuduknya sah. Dia tidak perlu membasuh kesan wangian itu dahulu sebelum mengambil wuduk. Tetapi sekiranya wangian itu jenis berminyak disapu pada anggota wuduk seperti pada tangan, maka ia perlu dibersihkan dahulu sebelum mengambil wuduk. Sekiranya wangian itu bukan pada bahagian anggota wuduk seperti pada leher, maka tidak mengapa mengambil wuduk tanpa membersihkannya terlebih dahulu.

Soalan:
Sebahagian orang mengalami masalah kencing berterusan atau kencing tidak lawas. Malah, ada yang sentiasa terkeluar mazi. Adakah hukum taharah dan ibadah bagi kedua-dua keadaan itu sama?
Jawapan:
Keluar kencing berterusan adalah sama dengan keluar mazi berterusan kerana kedua-dua ini dihukum sebagai daaimul hadas iaitu hadas yang sentiasa ada. Justeru, orang yang mengalami masalah ini perlu membasuh kemaluan dan memakai lampin ataupun menutup dengan sebarang kain. Kemudian berwuduk dengan sempurna. Wuduk ini hanya sah bagi satu solat fardu dan beberapa solat sunat sahaja.

Soalan:
Apakah boleh ustaz jelaskan tatacara bagaimana mandi wajib dengan sempurna. Saya bimbang sekiranya saya silap mandi wajib sehingga menyebabkan segala amal ibadah saya menjadi sia- sia.
Jawapan:
Cara mandi wajib yang sempurna ialah bermula dengan membersihkan kemaluan daripada najis, kemudian mengambil wuduk. Selepas itu, mulakan mandi dengan menjirus kepala terlebih dahulu sambil berniat "Aku mandi wajib kerana Allah Taala."
Kemudian basuh bahagian badan dari atas ke bawah dengan tiga kali basuhan. Sewaktu membasuh bahagian kemaluan, perlu duduk mencangkung dan digosokkan bahagian dubur dan segala perlipatan-perlipatan tubuh. Semua bulu dan rambut wajib disampaikan air padanya supaya mandi kita itu sah bagi beribadah.
Sekiranya memakai cincin, tanggalkan cincin itu sebelum mandi supaya air sampai dengan rata pada celah-celah jari.

Soalan:
Anak kecil saya yang berunsur empat tahun terkencing di dalam masjid dan air kencingnya terkena karet masjid. Bagaimana cara terbaik bagi membersihkan kawasan terkena najis pada karpet ini?
Jawapan:
Sekiranya karpet itu boleh diangkat, maka wajib diangkat dan dicuci di luar masjid. Kemudian, wajib membilasnya dengan air yang bersih selepas membasuhnya.
Sekiranya sukar mengangkatnya kerana karpet itu digam pada lantai ataupun ada barang-barang yang berat di atasnya, maka dimaafkan daripada mengangkatnya. Cara mencucinya, tuangkan air di atas tempat terkena najis sehingga rata di kawasan najis itu. Kemudian, keringkan air iti dengan kain yang dilekapkan di atasnya. Ulang sebanyak tiga kali sampai tinggal lembap-lembapnya sahaja. Apabila kering, tempat itu dikira bersih dan harus sembahyang ataupun lalu lalang di atasnya.


Soalan:
Apakah perbezaan antara mandi junub dengan mandi wajib?
Jawapan:
Mandi junub adalah sama dengan mandi junub.
Mandi junub disebut kerana mandi itu dilakukan selepas seseorang itu berjunub sama ada disebakan keluar mani ataupun jimak (bersetubuh).
Ia juga disebut sebagai mandi wajib kerana mandi itu wajib dibuat.
Mandi wajib lebih umum berbanding mandi junub kerana mandi junub adalah sebab keluar mani atau jimak sahaja. Manakala, mandi wajib ada kalanya sebab keluar mani, jimak, berhenti darah haid, dan nifas ataupun kerana melahirkan anak.

Soalan:
Apakah perbezaan antara air mani dengan air mazi? Sekiranya air mani dikeluarkan dengan sengaja ataupun tidak sengaja, apakah mandi junub tetap diwajibkan? Adalah benar sebagaimana yang dimaklumkan oleh seorang rakan, orang yang keluar air mazi tidak perlu mandi?
Jawapan:
Terdapat perbezaan antara air mazi dengan air mani. Keluar air mazi menyebabkan batal wuduk tetapi tidak wajib mandi. Hukumnya adalah najis seperti air kencing. Sementara keluar air mani menyebabkan hadas besar dan wajib mandi dengan niat mengangkat hadas besar.
Air mazi keluar rasa syahwat. Sifat air mazi ini jernih dan licin. Air mani keluar klimaks syahwat dan sifatnya keruh serta kesat.

Soalan:
Apakah boleh saya menggunakan botol arak bagi mengisi isi air minuman seperti air mineral untuk saya minum?
Jawapan:
Harus menggunakan botol arak bagi mengisi air ataupun bahan lain dengan syarat botol itu dibasuh terlebih dahulu sehingga bersih. Manakala, label arak yang ada pada luar botol itu perlu dibuang ataupun ditutup supaya perkara yang diharamkan oleh agama tidak tersebar.

Soalan:
Saya tinggal di luar negara. Suatu hari, saya tersentuh jaket kulit kawan saya yang diperbuat daripada kulit khinzir. Saya sudah samak tangan saya, tetapi apakah perlu saya menyamak baju kerana tersentuh jaket itu?
Jawapan::
Sekiranya jaket itu dan tangan saudara kering, tangan dan baju-baju saudara itu tidak wajib dibasuh atau disamak.
Tetapi, sekiranya jaket itu ataupun tangan saudara basah, wajib basuh tangan saudara kerana melekat najis dari jaket itu ke tangan saudara. Caranya, basuh tangan dengan air tanah yang keruh kemudian bilas dengan air bersih sebanyak enam kali.

Soalan:
Saya pernah mendengar pendapat menyatakan perbuatan orang Islam yang bawa najis adalah haram kerana membawa najis. Apakah pendangan ini berasas?
Jawapan:
Tidak haram membawa lori najis sebab bukan kita sengaja lumurkan najis itu pada badan. Pandangan ini tidak ada asasnya dalam agama Islam.

Soalan:
Seorang rakan saya memakai kasut yang diperbuat daripada kulit babi. Adakah dia perlu menyamak kakinya?
Jawapan:
Sekiranya ketika menyentuh kulit kasut itu, tangan dan kasut itu kering, maka tidak wajib basuh kerana najis tidak berpindah ke tangan.
Tetapi, sekiranya salah satu sama ada tangan ataupun kasut itu basah, wajib samak dengan membasuh tangan tujuh kali dan salah satu daripada tujuh kali itu dibasuh dengan air tanah.

Soalan:
Kebanyakan kemeja batik sutera campuran yag dijual di Terengganu mengandungi kira-kira 30% sutera. Adakah harus kemeja ini dipakai oleh lelaki?
Jawapan:
Menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafii, lelaki boleh memakai kain yang ditenun daripada sutera dan barang bukan sutera seperti benang kapas dengan syarat kandungan benang sutera itu kurang daripada kandungan benang sutera itu kurang daripada kandungan benang lain Ini juga pendapat sarjana fikah mazhab Hambali.

Soalan:
Saya berkerja dengan majikan Islam tetapi pejabatnya terletak berhampiran kedai pengusaha Cina yang memelihara anjing. Setiap hari, kereta saya bersentuhan dengan anjing, malah anjing itu juga pernah tidur di bawah kereta saya. Apakah saya perlu samak kereta saya? Sekiranya perlu, bagaimana caranya?
Jawapan:
Dalam keadaan seperti yang saudara ceritakan, tidak wajib membasuh kereta saudara sama ada di bahagian atas atauoun bahagian bawah kereta kecuali saudara nampak najis anjing itu pada kereta saudara.
Sekiranya memang ada najis anjing terkena pada pintu kereta, buang najis itu terlebih dalulu. Kemudian basuh tempat yang kena najis itu dengan tanah dan dibasuh pula selepas itu dengan enam kali basuhan air bersih.

Soalan:
Adakah perlu menutup kepala ketika ingin masuk ke dalam tandas membuang air besar dan kecil?
Jawapan:
Antara adab-adab masuk ke dalam tandas adalah menutup kepala sebagaimana yang disebut dalam kitab-kitab sarjana Islam. Oleh itu, sekiranya seseorang memasuki tandas tanpa menutup kepala, hukumnya tidak haram. Tetapi ia menyalahi adab-adab yang baik.

Soalan:
Adakah berdosa orang membuang air kecil berdiri?
Jawapan::
Majoriti sarjana fikah berpendapat sunat membuang air kecil dalam keadaan duduk. Oleh itu, siapa membuang air kecil dalam keadaan berdiri, perbuatannya adalah makruh, tetapi tidak berdosa.

Soalan:
Adakah benar kenyataan umum menyatakan makan atauoun minuman yang dimasuki semut boleh melemahkan minda orang yang makan? Adakah makanan dan minuman ini perlu dibuang?
Jawapan:
Semut yang masuk ke dalam makanan itu perlu dibuang, dan makanan itu boleh dimakan kerana yang dilarang adalan makan semut ataupun serangga yang dianggap keji. Tidak dilarang makan makanan itu selepas semut itu dibuang.

Soalan:
Bagaimana cara menyucikan pakaian atau barangan bundle yang dibeli kerana tidak mengetahui pemilik asalnya, sedangkan kebanyakannya dibawa dari luar negara.
Jawapan:
Sekiranya disyaki barang itu suci, maka sunat membasuh sekurang-kurangnya sekali sehingga bersih. Tetapi sekiranya diyakini barang itu tidak suci, membasuhnya adalah wajib.

Soalan:
Saya pernah bermain air banjir dan ternampak bangkai anjing berhampiran tempat saya bermain itu. Adakah saya perlu menyamak badan saya?
Jawapan:
Tidak wajib samak sekiranya bangkai anjing itu tidak bersentuh dengan anggota badan saudara. Melainkan sekiranya berada di dalam air sedikit seperti di dalam kolam yang kecil, wajib dibasuh.

Soalan:
Seseorang Muslim bekerja sebagai veterinar. Ada pelanggan yang mahu anjingnya dirawat. Adakah boleh beliau memegang anjing dalam situasi ini?
Jawapan:
Sekiranya boleh dirawat dengan memakai sarung tangan, maka perlu memakai sarung tangan. Tetapi, sekiranya tidak boleh memakai sarung tangan, wajib membasuh tangan selepas merawat anjing itu dengan tujuh kali basuhan dan salah satu basuhan itu adalah dengan air tanah.

Soalan:
Sekiranya tiada air bagi memandikan mayat, adakah boleh mentayamumkan mayat itu?
Jawapan:
Sekiranya tidak ada air bagi memandikan mayat, wajib tayamumkan mayat itu sebagai ganti kepada mandi. Demikian juga boleh tayamumkan mayat atas sebab keadaan mayat tidak boleh dimandikan seperti mayat yang terbakar ataupun tercabut daging ataupun kulitnya.

Soalan:
Apakah hukum berkhitan bagi kanak-kanak perempuan?
Jawapan:
Berkhitan bagi anak perempuan adalah wajib sebagaimana diwajibkan ke atas kanak-kanak lelaki. Meninggalkan yang wajib hukumnya adalah haram. Ini ialah pendapat yang muktamad di sisi Mazhab Syafii

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...