Saturday, 13 April 2013

Cerita Dari Seorang Ustaz



Agak menarik untuk siapa-siapa yang hendak membahagiakan isterinya. Buat para 
suami (dan bakal suami, hehe...), baca perbualan ustaz dengan Azman (bukan nama 
sebenar). Mungkin ada sedikit ibrah untuk kita semua.

"Ustaz, saya bakal melangsungkan perkahwinan November nanti. Harapnya, 
dapatlah saya dengar sedikit sebanyak nasihat dari ustaz sebagai bekal saya
 menempuh bahtera rumah tangga nanti,"seorang sahabat dari seberang
 laut bertanyakan nasihat saya di suatu sore.

"Alahai Azman, awak pun tahukan, saya ni tunang pon tidak, macam mana
 nak jawab soal nikah kahwin ni..?" Saya menambah humor, menyempitkan jurang kami.

"Tak pernah pulak ustaz tak jawab kalau saya tanya sesuatu sebelum ni..?"
 Beliau menyoal saya semula.

"Kalau awak tanyakan pasal Fiqh Minoriti tentang rakan-rakan kita di Kutub Utara,
 mungkin ana boleh cuba jawab. Tapi, kalau soal rumah tangga ni, susah sikit
 untuk saya respon. Belum ada pengalaman!" Saya cuba mendekatkan lagi telinga 
dan hati beliau terhadap pesan saya selepas ini. Biar hati itu betul-betul terbuka
 luas untuk menerima, sebelum saya menyuapkan resepi agung untuk berumahtangga.

Bukan alim, bukan berpengalaman. Hanya berkongsi apa yang pernah saya baca
 dan jumpa. Berkawan dengan orang tua-tua menemukan saya silibus yang tak
 akan ditemui dalam bilik kuliah.



"Apa matlamat utama awak?" Saya cuba membuat tawaran.

"Saya nak membahagiakan isteri saya," jawab beliau ikhlas. Nada suaranya sudah
 berubah. Sesuai dengan topik yang sedang kami bincangkan. Langkah ini langkah 
susah dan payah. Langkah kedua untuk mendirikan ummah yang berpayungkan khilafah.

"Kalau macam tu, senang sahaja. Pikat hati si dia. Ikatkan dengan hati awak.
 Pastikan hidup mati awak bersama. Bercinta hingga ke syurga, bak kata
 Ustaz Hasrizal," saya cuba mempromosikan produk.

"Nak pikat macam mana tu..? Boleh dikongsikan sedikit..?" Nada suaranya 
semakin ghairah untuk dijamukan resepi saya. Inilah masanya, umpan sudah mengena.

"Pertama sekali, selepas awak dan dia sudah halal dengan terlafaznya 
'aku terima nikahnya', kucup dahinya dalam-dalam. Kalau berpeluang, 
kucuplah matanya. Kemudian, ucapkan di telinga si dia yang awak sangat cintakan si dia.
 Tapi, jangan lupa untuk ucapkan juga syukur pada yang mengurniakan cintanya pada 
awak, ALLAH. Sujud syukur! Lepas itu, ucapkan juga terima kasih yang tidak terhingga
 kerana sudi menerima awak sebagai peneman hidup," saya sedikit bersungguh 
sewaktu bercerita.

"Aiwah, romantik pulak ustaz ni. Pasti cair hati isteri saya nanti,"galak suaranya 
dengan sedikit ketawa di seberang talian sana.

"Lepas tu, kalau berpeluang, rancangkan bulan madu bersama isteri. Tak perlu
 belanja yang tinggi, cuma pastikan peluang itu peluang yang berkualiti. 
Selaraskan komunikasi, selaraskan denyut nadi dan serasikan matlamat 
serta tujuan hidup masing-masing. Bersedia untuk menerima kekurangan
 dan mengiktiraf kelebihan masing-masing. Bincangkan masa depan dan 
satukan imaginasi korang berdua."

"Sekali sekala, adakan surprise untuk si dia walau hanya sekuntum bunga
. Kalau ada bajet yang lebih, mungkin boleh dibelikan sesuatu yang lebih berharga."

"Satu lagi, nafkah. Ini perkara penting yang telah digariskan dalam syariat kita.
 Jangan lewat untuk menunaikan kewajipan awak walau isteri awak ada kerjaya."

"Seterusnya, jangan lupa, bila awak terpaksa berpisah atau tinggalkan si dia 
sementara waktu, kucup dahi dan matanya sebelum tinggalkan rumah dan 
selalukanlah untuk utuskan kata-kata rindu supaya hatinya sentiasa subur
 dengan bunga-bunga cintanya terhadap awak. Pastikan kamu sentiasa 
menghubunginya setiap masa. Jangan terlewat walau sesaat cuma."

"Lebih penting, tunjukkan yang si dia lebih penting dari segala-galanya. 
Jangan pula awak liat untuk bertanyakan khabar kondisi si dia sedang dalam
 masa yang sama, awak saban hari memeriksa enjin dan kondisi Produa Myvi 
di depan tangga!" Sedikit humor saya selitkan dalam wasiat yang agak sinis ini. 
Lalu, sedikit gelakan dapat saya tangkap di hujung talian.

"Jangan lupa, bincangkan secara baik, jadual pulang berhari raya. Bimbang si 
dia terluka kalau tidak pulang ke rumah mertua. Jadi, jangan kedekut
 untuk korbankan kampung halaman untuk kebahagiaan si dia."

"Huih, banyak benar ye petua ustaz, macam pakar! Ayat pula power, macam dah 
bercucu tiga. Ada lagi ke ustaz? Saya dah makin bersemangat ni," 
Azman semakin bersemangat. Setiap patah perkataan saya dicerap sebaik-baiknya.
 Respon pula sentiasa ada dicelahan setiap nasihat dan idea.

"Ye, ada lagi. Mungkin ini yang paling istimewa. Bila dah ada cahaya mata nanti,
 cinta kamu akan terbahagi dua. Separuh untuk isteri dan separuh untuk anak-anak. 
So, jangan lupa untuk ungkapkan penghargaan yang tidak terhingga sepanjang 
tempoh hamil sehingga selepas bersalin. Ungkapan kita akan menjadi penguat 
semangat si dia untuk terus menempuh saat kritikal sepanjang tempoh hamil
 dan proses melahirkan bayi. Saya ada satu resepi rahsia," saya memancing lagi.

"Apa tu ustaz, tolonglah jangan rahsia, nanti rumah tangga saya kurang bahagia,"
 usiknya sambil diselangi ketawa bahagia.

"Ok, resepi rahsianya, apabila anta sambut ulang tahun kelahiran anak-anak,
 hadiahkan juga cenderahati penghargaan kepada si dia yang berkorban 
9 bulan mengandungkan anak-anak."

"Ada lagi ustaz?" Suaranya semakin galak.

"Habis. Setakat itu sahaja," saya memutuskan kata-kata. Titik noktah diletakkan 
di hujung bicara.

"Hai, saya tengah bersemangat ni... jantung pun tengah kencang berdegup
, janganlah berhenti mengejut begitu ustaz. Nanti boleh jatuh strok saya jadinya." 
Selorohnya meminta perbualan kami diperpanjangkan lagi.

"Kalau awak strok, wasiatkan tunang awak untuk saya," saya berseloroh sambil
 ketawa bersahaja.

"Kalau awak masih sudi, masih ada resepi yang kurang menarik. Jarang orang suka
 mendengar resepi ini. Kalau awak betul-betul mahu, saya boleh sambung," nada

 suara saya mendatar.

"Boleh, saya sedia. Saya tahu, pasti akan ada manfaatnya," Azman masih bersemangat.

"Resepi ini bukan untuk memikat hati. Tapi untuk menghidupkan hati yang separuh
 mati. Mengesat air mata yang tak nampak alirannya. Meredakan pekikan suara hati yang 
tidak zahir bunyinya. Awak nak dengar ke?" Nada saya bertukar sedikit serius.

"Apa tu ustaz?" Nadanya kini berubah.

"Awak pernah kucup dahi ibu sendiri?" Tanya saya ringkas.

"Belum," ringkas juga jawapan Azman.

"Kucupi dahi ibu kamu sebelum kamu mengucup dahi isteri. Ibu itu yang berkorban
 9 bulan mabuk, loya dan letih mengandungkan kita dan bersabung nyawa melahirkan
 kita. Mengasihi kita tanpa sebarang syarat ataupun mahar mahupun nafkah. Dahi ibu kita
 lebih layak untuk kita kucup sebelum kita kucup dahi isteri yang baru kita kenali
 beberapa bulan."

"Pernah awak berbulan madu dengan ibu? Berkongsi tujuan dan matlamat hidup 
dengan ibu? Bergurau senda dan bermanja-manja dengan ibu? Kalau belum, 

honeymoon dulu dengan ibu awak. Kelak nanti, hatinya tidak begitu remuk melihat 
bahagianya bulan madu kita bersama isteri dengan melupakan jasa ibu yang
 pernah meletakkan seluruh hidupnya untuk kebahagiaan kita. Bahagianya 
honeymoon kita sehingga terlupa untuk menghubungi ibu anta di desa sana."

"Pernah awak berterima kasih pada ibu kerana melahirkan awak? Ibu yang sepanjang 
hidupnya menemani hidup awak? Kalau masih belum diungkapkan, segerakanlah ia
 sebelum awak berterima kasih kepada isteri yang sudi menjadi peneman hidup awak. 
Ibu tua itu lebih aula (utama) menerima ucapan itu."

"Pernah surprisekan ibu awak dengan sesuatu hadiah yang istimewa? Kalau belum,
 surprisekan dulu si ibu itu. Nescaya, hatinya kembali berbunga-bunga. Ibu itu pastinya 
sunyi bila kehilangan kita, anak kesayangannya."

"Sewaktu kita mengira belanja harian dan nafkah untuk isteri, fikirkan juga nafkah dan 
belanja untuk ibu kita yang tak bergaji di desa sana. Ibu itu telah membesarkan kita
 tanpa sebarang upah mahupun bayaran. Ye, duit yang kita akan kirimkan itu bukannya 
bayaran terhadap kasih sayang mereka, tapi ianya menjadi tanda yang kita juga
 masih mengingati malah menyayangi mereka."

"Man, saya yakin, mak awak sangat sunyi waktu ini. Saban detik, telinganya pasti
 ingin mendengar deringan dari seberang laut. Pasti matanya selalu menatap potret awak
 yang digantung atau yang terselit di celah dompet. Hubungilah ibu awak sekerap
 yang mungkin. Kalaupun tidak seminggu sekali, pastikan dalam sebulan, khabar awak
 sampai kepada mak yang jauh di kampung."


"Man, kalau dengan satu ibu dan satu ayah, kita sudah tidak mampu untuk
 memikat hati kedua-duanya, saya bimbang lebih banyak hati-hati yang akan
 terluka selepas kita mempunyai dua ibu dan dua ayah."

Gelak ketawa bertukar menjadi esak dan sendu. Nada Azman yang riang kini
 berubah ke sebaliknya. Saya menghentikan kalam seketika. Suasana hening seheningnya.
 Hanya sedikit gangguan dari gelombang talian yang seakan-akan turut terpengaruh 
dengan suasana.

"Saya tak berniat untuk menghancurkan impian bahagia awak. Tapi, saya yakin 
dengan sempurnanya plot ini, awak akan lebih berbahagia. Ummat ini akan lebih
 berbahagia."

"Saya yakin yang awak sudah maklum. Bait Muslim (keluarga Islam) tidak akan 
sempurna tanpa sempurnanya Individu Muslim. Bagitulah juga, Masyarakat Muslim
 tidak akan lahir dari Bait Muslim yang tempang. Khilafah tidak akan terbina dengan
 Masyarakat yang tidak stabil. Bersemangatlah, kitalah pemulanya. Saya yakin, tarbiah
 yang awak lalui telah menjadikan awak Fardul Muslim (individu Muslim) yang baik. Tinggal
 lagi, Allah akan mendidik awak untuk melahirkan Bait Muslim yang baik. Adikku Azman,
 inilah jalannya."

"Go home and love your family."

Jawapan Mother Teresa selepas ditanyakan tentang bagaimana untuk mempromosikan
 keamanan kepada dunia. Pertanyaan itu diajukan beliau menerima Hadiah Nobel 
Keamanan pada tahun 1979.

"Sebaik-baik kamu adalah oran yang paling baik hubungannya dengan ahli keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik untuk keluargaku."

- Hadis

Pastikan perkahwinan kita membahagiakan sejuta hati. Memuaskan sejuta jiwa. 
Menghidupkan sejuta roh dan menyelamatkan sejuta ummah.

Mulailah dari diri kita. Dari rumah kita. Dari Isteri dan anak-anak kita. Dari masyarakat
 kita. Dari negeri kita. Dari negara kita. Moga payung khilafah akan menaungi kita kelak.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri."\


- Al-Quran

Sumber : Hasan Husaini, Darul Muttaqin, Jordan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...