Allah SWT telah mengurniakan akal kepada setiap manusia untuk menggunakan nikmat pemberian itu dengan sebaik-baiknya dalam meniti kehidupan. Akal manusia mampu mentadbir alam ini dengan sempurna supaya kehidupan dilalui dalam keadaan yang harmoni dan teratur. 

Namun, ada kala pemberian Allah SWT ini disalahgunakan tanpa rasa berdosa kepada penciptanya. Sesungguhnya akal pemberian Allah kepada manusia perlu digunakan dengan sebaik-baiknya. Allah menceritakan mengenai hamba-Nya yang digelar ‘Ulul al-Bab’ yang beriman dan menggunakan akal pemikiran dengan sebaik-baiknya dalam mentaati segala perintah-Nya. 
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pertukaran waktu malam dan juga siang adalah tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berfikir. Mereka ialah manusia yang sentiasa mengingati Allah ketika berdiri, duduk mahupun berbaring. Mereka memikirkan pada penciptaan langit dan bumi (lalu berkata): Wahai Tuhan kami sesungguhnya Kamu tidak menciptakan semua ini secara sia-sia, maha suci Engkau maka jauhilah kami daripada azab api neraka.” (Surah Ali-Imran, ayat 190-191) 


Tujuan utama penciptaan akal 

Ayat ini jelas menunjukkan tujuan utama penciptaan akal adalah untuk melihat kebesaran Allah SWT melalui penciptaan alam, seterusnya tunduk dan patuh kepada segala perintah-Nya. Antara kegunaan akal adalah untuk memahami syariat Islam yang diturunkan Allah SWT melalui kalam-Nya al-Quran. 

Malah akal yang diberikan Allah SWT adalah penentu dalam meletakkan hukum bagi setiap manusia yang mukalaf. 

Sabda Nabi SAW: “Diangkatkan penulisan (dosa) daripada tiga golongan: orang yang tidur sehinggalah dia bangun, kanak-kanak sehinggalah dia bermimpi (baligh) dan orang gila sehinggalah dia waras.” (Direkodkan oleh Imam Abu Daud) Tujuan dikecualikan dosa bagi tiga golongan ini disebabkan keterbatasan dalam penggunaan akal fikiran yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka. 
z Selain itu akal adalah kurniaan Allah yang cukup besar untuk manusia mengenalpasti dan menganalisis hukum dalam syariat Islam. 


Dibenarkan berijtihad 

Buktinya kita dibenarkan berijtihad bagi sesuatu hukum yang baru apabila terdapat nas jelas bagi permasalahan itu. Oleh itu, akal digunakan untuk berijtihad dalam permasalahan berkenaan melalui dalil berbentuk umum. 

Namun ijtihad tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya tetapi mestilah melalui individu yang diiktiraf ketinggian ilmu mereka dalam selok-belok agama. 

Akal digunakan dalam permasalahan qiyas iaitu meletakkan hukum bagi permasalahan baru berdasarkan hukum sedia ada melalui persamaan illah (sebab). Contohnya, pengharaman menagih dadah yang diqiyaskan kepada pengharaman arak melalui sebabnya iaitu menghilangkan kewarasan akal manusia. 

Walaupun dibenarkan untuk kita menggunakan akal dalam perbahasan berkaitan syariat Islam namun perlu diketahui bahawa akal manusia tidak boleh melangkau serta melepasi batasan nas al-Quran dan al-Sunnah. 

Sebaliknya akal manusia perlulah mengikut sesuatu yang telah diterangkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman janganlah kamu mendahului urusan Allah dan Rasul-Nya; dan bertakwalah kamu kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Hujurat, ayat 1).