Akhlak mendorong manusia melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan
Akhlak yang baik amat dititikberatkan oleh semua agama. Akhlak merupakan garis pemisah antara yang berakhlak dengan orang yang tidak berakhlak. Dalam agama Islam, akhlak merupakan roh Islam yang mana agama tanpa akhlak samalah seperti jasad yang tidak bernyawa.
Pencerminan diri seseorang sering digambarkan melalui tingkah laku atau akhlak yang ditunjukkan. Malahan akhlak merupakan perhiasan diri bagi seseorang sebagaimana aqidah merupakan tunjang agama, syariat merupakan cabang dan rantingnya manakala akhlak adalah yang mewarnai seperti bunga-bungaan yang menyerikan hiasan pokok tersebut.
Menurut Sheikh Mohamad Abu Zahrah dalam kitabnya Tanzim al-Islam Li al-Mujtama' budi pekerti atau moral yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan manusia yang berhati bersih, ikhlas dalam hidup, amanah dalam tugas, cinta kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan. Akhlak merupakan satu pendorong untuk manusia melakukan amal kebaikan kerana Allah dan juga sesama manusia.
Akhlak terbentuk dalam diri manusia melalui ajaran agama yang dianuti oleh masyarakat manusia. Ajaran – ajaran agama ini mendorong mereka melakukan kebaikan.
Contohnya, dalam ajaran Islam Allah berfirman dalam Surah AnNahl Ayat 90 “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
Dalam kitab sastera Buddha iaitu Udanavargu (5:18) pula tertulis, “ Janganlah kamu menyakiti seseorang dengan cara yang kamu sendiri rasa menyakitkan.’’.
Manakala pada buku James ayat 4:17 English Standard Version Bible yang menjadi ikutan masyarakat Kristian pula dicatatkan “Maka seorang manusia yang mengetahui perihal satu kebaikan tetapi gagal melakukannya untuknya satu dosa.’’
Bercakap benar, rajin menolong, saling menghormati, bersopan santun dan sentiasa bersabar mengharungi dugaan adalah sifat sifat yang sering didapati pada orang yang memiliki akhlak yang baik.
Sebaliknya, manusia yang mempunyai nilai akhlak yang rendah sering melakukan perbuatan sia – sia, tidak bermoral dan hina. Contoh paling jelas dan dekat yang boleh dilihat adalah trend peningkatan kelahiran anak luar nikah di Malaysia yang kini diancam sekularisme dan liberalisme. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, kira kira 83 anak luar nikah dilahirkan setiap hari di Malaysia. Angka yang lebih memeranjatkan adalah 257000 sijil kelahiran dikeluarkan tanpa catatan nama bapa dari tahun 2000 hingga Julai 2008.
Melihat dari pandangan global pula, kita akan dapat mengetahui betapa besarnya impak negatif yang wujud disebabkan kerendahan akhlak manusia. Afrika Selatan yang diberi nama jolokan “the rape capital of the world’’ mempunyai kadar kes rogol yang amat tinggi iaitu 118.3 bagi setiap 100000 penduduk. Hal ini merupakan faktor terbesar mengapa 10 juta rakyat Afrika Selatan adalah penghidap HIV positif.
Selain itu, kira – kira 10 hingga 20 juta individu dianggarkan melakukan cubaan membunuh diri pada setiap tahun oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). 800000 hingga 1000000 dari jumlah disebutkan diatas terkorban sia – sia disebabkan perbuatan terburu – buru mereka.
Honduras, sebuah negara kecil di Amerika Tengah dengan jumlah penduduk sekitar 8 juta orang juga tidak terlepas dihimpit hakikat buruk yang disebabkan keruntuhan akhlak masyarakatnya. Menurut statistik yang dikeluarkan, kadar kes bunuh di Honduras adalah 91.6 bagi setiap 100000 penduduk atau bersamaan dengan 7104 korban pembunuhan kelas pertama. Kadar kes bunuh di negara ini amat tinggi jika dibandingkan dengan Malaysia (2.3) dan Iceland (0.3).
Akhlak pemangkin pembangunan tamadun dan negara yang hebat.
Tamadun atau negara yang hebat merujuk kepada sebuah entiti pemerintahan yang bukan sahaja terbentuk hasil daripada kekuatan sumber materialistik semata – mata tetapi juga ketertinggian akhlak rakyatnya.
Bahkan, ketertinggian akhlak itu dianggap lebih penting oleh sejarahwan Islam berbanding dengan kekayaan sumber materialistik semata – mata.
Akhlak secara analoginya diibaratkan sebagai asas kepada pembinaan sebuah bangunan bergelar tamadun. Kalau dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, begitu juga dengan membentuk tamadun / negara mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya (akhlak) terlebih dahulu. Jika kukuh asas yang dibina maka tegaklah entiti pemerintahan itu. Jika lemah maka robohlah apa-apa sahaja yang dibina di atasnya.
Kekalnya sesuatu ummah juga kerana kukuhnya akhlak dan begitulah juga runtuhnya sesuatu ummah itu kerana lemah akhlaknya. Hakikat kenyataan di atas dijelaskan dalam kisah-kisah sejarah dan tamadun manusia melalui al-Quran seperti kisah kaum Lut yang dibinasakan kerana melakukan liwat ,kaum Tsamud kerana membunuh mukjizat unta yang yang keluar dari celah batu, kaum nabi Ibrahim, Ashab Al-Sabt, Ashab al-Ukhdudd dan lain - lain.
Sebaliknya, ummah yang berakhlak tinggi dan sentiasa berada di bawah keredhaan dan perlindungan Allah ialah ummah yang seperti di Madinah pada zaman Rasulullah saw.
Hal ini dibuktikan oleh Allah melalui firmannya dalam Surah Al-A'raaf ayat 96, "Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannyaa..".
Ketiadaan akhlak yang baik pada diri individu atau masyarakat akan menyebabkan berlaku pelbagai krisis dalaman dan luaran seperti krisis nilai diri, keruntuhan rumahtangga, masyarakat belia yang mundur dan boleh membawa kepada kehancuran sesebuah negara.
Presiden Perancis ketika memerintah Perancis dulu pernah berkata : "Kekalahan Perancis di tangan tentera Jerman disebabkan tenteranya runtuh moral dan akhlak.’’.
Jika masyarakat sesebuah negara berakhlak tinggi, pemimpin mereka boleh memfokuskan masa dan tenaga untuk memajukan negara dan mencapai kestabilan politik, ekonomi dan sosial. Wang rakyat tidak perlu dibazirkan untuk membanteras masalah – masalah jenayah yang timbul. Sebaliknya, peruntukan dana ini boleh digunakan untuk membina sekolah dan universiti baru bagi melahirkan modal insan yang cemerlang dari segi jasmani, rohani, moral dan intelek.
Selain itu, memandangkan akhlak yang tinggi menekankan soal kejujuran, tanggungjawab, saling menghormati, amanah dan sebagainya maka hal ini mampu melahirkan masyarakat dan pemimpin yang berintegriti mantap dan nilai professional yang tinggi sekaligus menaikkan martabat negara.
Hal ini dibuktikan melalui kejayaan negara Jepun membina sebuah negara hebat walaupun memiliki pelbagai kekurangan. Seperti yang diketahui umum, 70% muka bumi Jepun diliputi hutan dan bukit bukau yang tinggi.Selain itu, negara ini tidak memiliki kekayaan sumber alam seperti negara – negara lain. Sudah terjatuh dihempap pula tangga, Jepun sering dilanda bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi. Tetapi hakikat ini tidak membantutkan usaha masyarakat dan pemimpin Jepun membangunkan negara mereka. Hasilnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Jepun pada tahun 2012 adalah berjumlah US$5.984 trillion lantas meletakkan mereka pada kedudukan ke-3 dunia.
Sebaliknya, Malaysia yang memiliki pelbagai sumber alam yang berharga seperti petroleum, gas asli, balak, emas, bijih timah dan terlindung daripada bencana alam seperti gempa bumi dan taufan hanya mampu mengaut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal bagi tahun 2012 sebanyak US$307.178 billion. Hal ini berlaku kerana akhlak rendah masyarakat dan pemimpin Malaysia yang mengamalkan rasuah, penyelewengan kuasa dan malas berusaha.
Hasil penulisan,
Fazrin Jamal.
No comments:
Post a Comment