5 Jalan Utama Mencintai Rasulullah
Assalamualaikum wr. wb.
Walau apa-apa pun keadaan, tidak ada pilihan lain buat kita melainkan cuba sedaya upaya mencintai Rasulullah s.a.w. sepenuh hati. Keselamatan kita di dunia dan akhirat bergantung kepada sejauh mana kita mencintai Rasulullah s.a.w. Justeru, untuk mencapai cinta Allah, kita perlu melalui terlebih dahulu jalan-jalan yang membawa cinta kepada Rasulullah.
Walau apa-apa pun keadaan, tidak ada pilihan lain buat kita melainkan cuba sedaya upaya mencintai Rasulullah s.a.w. sepenuh hati. Keselamatan kita di dunia dan akhirat bergantung kepada sejauh mana kita mencintai Rasulullah s.a.w. Justeru, untuk mencapai cinta Allah, kita perlu melalui terlebih dahulu jalan-jalan yang membawa cinta kepada Rasulullah.
Seorang Arab Badwi bertemu Rasulullah s.a.w. lantas bertanya : "Bila berlaku kiamat?"
Rasulullah s.a.w. bertanya kembali kepadanya, mafhumnya : "Apa yang sudah kau sediakan untuk menghadapinya?"
Orang Arab Badwi tersebut menjawab : "Aku menyediakan hati yang sangat mencintai engkau, wahai Rasulullah."
Rasulullah membalas : "Seseorang akan bersama-sama dengan orang yang dicintainya di akhirat."
Ketika mendengar jawapan Rasulullah itu, para sahabat Baginda sangat gembira. Malah, ada daripada mereka yang merasakan hari tersebut seolah-olah hari raya. Mereka merasakan dengan "bermodalkan" cinta, mereka boleh dikurniakan syurga!
Kaedah Mencintai Rasulullah
Bagaimana hendak mencintai Rasulullah s.a.w.? Mencintai Rasulullah dapat dicapai melalui jalan-jalan berikut :
1. Mengenali Rasulullah
Kita perlu benar-benar mengenali Rasulullah melalui sirah dan sunnah Baginda. Tidak cukup hanya mengetahui dengan akal, tetapi perlu mengenali Baginda dengan hati, lalu cuba mempraktikkan segala sunnahnya dalam realiti kehidupan.
Kita perlu benar-benar mengenali Rasulullah melalui sirah dan sunnah Baginda. Tidak cukup hanya mengetahui dengan akal, tetapi perlu mengenali Baginda dengan hati, lalu cuba mempraktikkan segala sunnahnya dalam realiti kehidupan.
Tanya kepada diri : "Jika Rasulullah bersama-samaku, bagaimana rasa, kata dan tindakan kita ketika berdepan dengan suasana ini?" Begitulah rasa hati yang seharusnya ada dalam hati kita sekiranya ingin benar-benar mengenali Rasulullah s.a.w.
Mungkin telah banyak yang kita baca daripada sirah Rasulullah, tetapi sejauh mana ia meresap ke dalam hati untuk dirasai? Dengan cuba meneladani Baginda setiap masa, barulah kita diberi hidayah oleh Allah untuk benar-benar mengenali dan seterusnya mencintai Rasulullah.
Untuk cinta, mesti kenal. "Tak kenal, maka tak cinta." Apabila kita mengenali Rasulullah s.a.w., barulah kita boleh mencintainya. Justeru, tuntutan yang paling utama selepas mengenal Allah adalah dengan mengenal Rasulullah.
Ironinya, bagaimana mungkin ibu bapa mampu mengenalkan dan menyemai rasa cinta kepada Rasulullah kepada anak-anak jika diri mereka sendiri pun belum mengenali dan mencintai Baginda?
Mengenali Rasulullah s.a.w. melibatkan dua dimensi, seperti berikut :
Dimensi | Contoh |
Lahiriah | Personaliti Rasulullah yang merangkumi nama, rupa fizikal, ahli keluarga dan lain-lain. |
Rohaniah | Aspek keyakinan, prinsip dan strategi perjuangan Rasulullah. |
Tidak memadai jika kita mencintai Rasulullah s.a.w. hanya kerana jasad dan tubuh badan Baginda tanpa mengenali perjuangannya. Abu Talib, bapa saudara Nabi sendiri sangat kuat mempertahankan keselamatan nyawa Baginda. Malangnya, dia tidak mendapat hidayah untuk menyakini iman dan Islam yang menjadi perjuangan Baginda.
Oleh sebab itu, mengenali Rasulullah s.a.w. tidak cukup sekadar lahiriah. Kita mesti menyelami roh dan prinsip pejuangan Baginda. Perkenalan tahap pertama (lahiriah), tidak akan menghasilkan cinta yang sempurna.
Sekadar menghafal nama, mengetahui ahli keluarga dan mempunyai maklumat elemen luaran Baginda bukan pengenalan yang hakiki. Mungkin ia boleh menimbulkan minat, tetapi tidak akan membuahkan cinta. Pengenalan yang menghasilkan cinta ialah perkenalan yang meresap ke hati, bukan sekadar di kepala dan juga bukan sekadar hafalan tetapi penghayatan.
Sedangkan cinta adalah soal hati dan rasa. Atas dasar itulah ramai umat Islam yang belum mencintai walaupun sering mengaku mencintai. Dalam hati cuma boleh menampung satu cinta. Jika cintakan dunia, manusia dan lain-lain masih mendominasi hati, ertinya cinta kepada Rasulullah tidak akan bersemi. Betapa jarang kita mengingati Rasulullah, apatah lagi merindukan untuk berjumpa dengannya.
2. Mematuhi ajaran Rasulullah
Tanda cinta ialah patuh. Pepatah Arab menyatakan : "Seseorang akan menjadi hamba kepada perkara yang dicintainya." Seorang yang mencintai Rasulullah akan menjadi hamba kepada Allah dengan mengikut sunnah Rasulullah. Kepatuhan seseorang terhadap ajaran Rasulullah adalah bukti yang paling kuat menunjukkan kebenaran cintanya. Tanpa mematuhi ajarannya, dakwaan cinta itu adalah palsu.
Tanda cinta ialah patuh. Pepatah Arab menyatakan : "Seseorang akan menjadi hamba kepada perkara yang dicintainya." Seorang yang mencintai Rasulullah akan menjadi hamba kepada Allah dengan mengikut sunnah Rasulullah. Kepatuhan seseorang terhadap ajaran Rasulullah adalah bukti yang paling kuat menunjukkan kebenaran cintanya. Tanpa mematuhi ajarannya, dakwaan cinta itu adalah palsu.
Dalam konteks ini, al-Hasan al-Basri dan para salaf pernah menyatakan : "Sesuatu kaum mendakwa bahawa mereka mencintai Allah, lalu mereka diuji oleh Allah dengan menurunkan ayat 31 surah Ali 'Imran yang bermaksud : "Katakan : 'Jika benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku.'"
Setiap kali berarak, marhaban, bernasyid dan berselawat pada hari keputeraan Rasulullah, sepatutnya peringatan daripada al-Hasan al-Basri inilah yang lebih dititikberatkan.
3. Memuliakan dan menghormati Rasulullah
Kita dianggap memuliakan Rasulullah apabila membenarkan segala berita yang dibawa oleh Baginda, mematuhi segala suruhan, menjauhi segala larangan dan beribadah kepada Allah dengan cara yang ditunjukkannya. Sesiapa yang tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, ini bererti dia tidak lagi menghormati Rasulullah walaupun mulutnya mendakwa demikian.
Kita dianggap memuliakan Rasulullah apabila membenarkan segala berita yang dibawa oleh Baginda, mematuhi segala suruhan, menjauhi segala larangan dan beribadah kepada Allah dengan cara yang ditunjukkannya. Sesiapa yang tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, ini bererti dia tidak lagi menghormati Rasulullah walaupun mulutnya mendakwa demikian.
"Love is a verb not a word - cinta itu tindakan, bukan perkataan." Seseorang yang tidak menegakkan sunnah Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan kerana kejahilan, kedegilan atau keangkuhan, maka secara langsung atau tidak dia telah menghina Rasulullah. Bahkan, secara sedar atau tidak, sikap itu boleh dikira sebagai meragui kejujuran, keadilan dan kebenaran yang dibawa Baginda.
Pada akhir zaman, bukti mencintai Rasulullah s.a.w. adalah dengan menegakkan sunnah Baginda, namun ia sangat sukar dilakukan seumpama menggenggam bara api. Namun, orang yang cinta, "buta" kepada penderitaan demi mendapat keredaan orang yang dicintainya, akan sanggup melakukan. Ya, cinta itu buta. Begitulah jika kita mencintai Rasulullah, kita sanggup menggenggam "bara api" tersebut dan mengamalkan sunnah Baginda walaupun terpaksa menggigitnya dengan gigi geraham.
Itulah maksud sabda Rasulullah s.a.w.: "Sesungguhnya Islam bermula dengan keasingan dan akan kembali asing seperti permulaan. Berbahagialah orang yang asing." (Riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya, di belakang kalian ada hari-hari untuk orang yang bersabar seperti memegang bara api. Mereka yang mengamalkan sunnah pada hari tersebut mendapatkan pahala 50 kali daripada kalian yang mengamalkan amalan tersebut."
Para sahabat bertanya: "Mendapatkan pahala 50 kali daripada kita atau mereka?"
Rasulullah menjawab: "Bahkan 50 kali pahala daripada kalian." (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim)
Namun, kita mesti berwaspada pada tipu daya syaitan yang hendak menyesatkan manusia. Bagi mereka yang tidak memuliakan Rasulullah s.a.w., syaitan meniupkan rasa enggan, berat dan angkuh untuk menegakkan sunnah. Manakala, bagi yang sudah mempunyai dorongan untuk memuliakan Baginda, syaitan akan mendorongnya secara keterlaluan hingga ke tahap terlajak dan terlampau.
Hal ini diperingatkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w., maksudnya: "Janganlah kamu keterlaluan menyanjungi aku sebagaimana sanjungan yang diberikan orang Nasrani terhadap Nabi Isa anak Maryam. Sesungguhnya aku hamba-Nya, oleh sebab itu panggilan aku Abdullah (hamba Allah) dan Rasulullah (pesuruh Allah)." (Riwayat al-Bukhari)
4. Mencintai keluarga, kaum kerabat dan sahabat Rasulullah
Sudah lumrah apabila kita mencintai seseorang, kita akan turut mencintai semua orang yang dicintainya dan segala sesuatu yang membawa kepada kecintaannya. Dalam konteks ini, Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini: "Ya Allah, berikan cinta-Mu kepadaku, jadikan orang yang mencintai-Mu mencintaiku dan jadikan aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu."
Sudah lumrah apabila kita mencintai seseorang, kita akan turut mencintai semua orang yang dicintainya dan segala sesuatu yang membawa kepada kecintaannya. Dalam konteks ini, Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini: "Ya Allah, berikan cinta-Mu kepadaku, jadikan orang yang mencintai-Mu mencintaiku dan jadikan aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu."
Justeru, bukti cinta kita kepada Rasulullah s.a.w. adalah dengan mencintai seluruh keluarganya (isteri, anak, cucu dan seterusnya) serta para sahabat Baginda.
Jika ditanya, bagaimana? Jawapannya dengan menghormati para sahabat, mengakui keutamaan ahli bait, memelihara kehormatan dan kedudukan mereka serta benci kepada sesiapa yang menghina mereka. Kita tidak boleh berdiam diri apabila para sahabat dan ahli bait dikecam oleh sesiapa sahaja. Kita mestilah bertindak memberi penjelasan, penerangan dan berhujah dengan cara ilmiah dan amaliah (perbuatan) bahawa mereka memiliki keutamaan dan keistimewaan yang khusus.
Hakikat ini dijelaskan dalam firman Allah, maksudnya: "Orang yang terdahulu lagi yang pertama kali (masuk Islam) dalam kalangan Muhajirin, Ansar dan orang mengikut mereka dengan baik. Allah meredai mereka dan mereka pun reda kepada Allah. Dia menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir sungai di dalamnya, dan mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar." (Surah al-Tawbah 9: 100)
Ketika ada sahabat yang menyatakan kebimbangan dengan pelantikan Usamah bin Zaid sebagai jeneral tentera Islam, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya: "Jika kalian mencela kepimpinannya, maka kalian juga mencela kepimpinan ayahnya sebelum ini. Demi Allah, dia (ayahnya) sangat layak menduduki jawatan panglima dan dia salah seorang yang paling aku cintai. Usamah adalah orang yang paling aku cintai sesudah ayahnya." (Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga rasa cinta yang diucapkan Baginda kepada cucunya iaitu al-Hasan dan al-Husin sehingga Baginda mendoakan mereka dengan doa: "Ya Allah, cintailah kedua-duanya kerana aku mencintai kedua-duanya." (Riwayat al-Bukhari)
Mengakui mencintai Rasulullah tetapi membenci sahabat-sahabat utama Baginda adalah satu pendustaan. Padahal, keutamaan para sahabat dan generasi awal Islam telah ditegaskan oleh Rasulullah sendiri melalui sabdanya yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia ialah (manusia yang hidup dalam) kurunku, kemudian mereka yang mengikutinya (tabi) dan mereka yang mengikutinya (tabi tabiin)." (Riwayat al-Bukhari)
5. Mencintai ulama yang gigih berdakwah
Ulama ialah pewaris nabi. Merekalah golongan yang paling teguh berpegang dengan sunnah dan gigih berdakwah meyebarkan Islam sejak dahulu sehingga kini. Di bahu merekalah terletaknya amanah untuk meneruskan perjuangan menegakkan Islam kepada umat setelah tidak akan ada lagi nabi atau rasul yang akan diutuskan kepada umat manusia. Tidak kira di mana-mana pun kedudukan kita sama ada sebagai umara atau umat, ulama mesti diletakkan sebagai penasihat, murabbi bahkan pembimbing ke jalan kebenaran.
Ulama ialah pewaris nabi. Merekalah golongan yang paling teguh berpegang dengan sunnah dan gigih berdakwah meyebarkan Islam sejak dahulu sehingga kini. Di bahu merekalah terletaknya amanah untuk meneruskan perjuangan menegakkan Islam kepada umat setelah tidak akan ada lagi nabi atau rasul yang akan diutuskan kepada umat manusia. Tidak kira di mana-mana pun kedudukan kita sama ada sebagai umara atau umat, ulama mesti diletakkan sebagai penasihat, murabbi bahkan pembimbing ke jalan kebenaran.
Kita dituntut memuliakan ulama silam yang banyak berjasa dan menjaga warisan ilmu dengan penuh iltizam, ikhlas dan profesional. Mereka mewariskan kitab muktabar dan generasi ilmuwan yang meneruskan legasi kecemerlangan sehingga pada zaman kini. Walaupun mungkin sebagai manusia biasa, para ulama juga tidak terlepas daripada kekhilafan dan kesilapan, namun itu bukan ajaran untuk memandang rendah apatah lagi mencerca mereka.
Alangkah baik sekiranya ada perbezaan sesama mereka (walau bagaimana besar sekalipun perbezaan itu) kita menerima dengan berlapang dada dan penuh adab.
Menghormati ulama silam sangat perlu berdasarkan 'ibrah yang dijelaskan oleh firman Allah, maksudnya: "Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa, maksudnya: 'Wahai Tuhan kami, berikan keampunan kepada kami dan saudara kami yang telah beriman terlebih dahulu daripada kami. Janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.'" (Surah al-Hashr 59: 10)
Mencintai Kerana Allah
Selepas mencintai Allah dan Rasul-Nya, kepada siapa lagi perlu kita mencintai? Ya, kita boleh mencintai sesiapa dan apa-apa sahaja dengan syarat diniatkan mencintai Allah. Mencintai Allah adalah sumber cinta semua dan segala-galanya. Justeru, cintailah Allah...
Rasulullah mampu mencintai isteri, anak, cucu, menantu, sahabat malah seluruh umatnya. Jika Rasulullah mencintai Mu'az kerana Allah. Mencintai seseorang kerana Allah dan Rasul-Nya juga dikira mencintai Allah.
Namun, dalam apa-apa jua keadaan sekalipun, kecintaan kepada makhluk tidak boleh melebihi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugian dan tempat tinggal kamu yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang fasiq." (Surah al-Tawbah 9: 24)
Umar al-Khattab berkata kepada Rasulullah s.a.w.: "Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri."
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Tidak, demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya sehingga aku lebih dicintai daripada dirimu sendiri."
Umar r.a. berkata: "Sesungguhnya, demi Allah sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri."(Riwayat al-Bukhari)
Adakah rasa hati kita telah merasai seperti yang pernah dirasai oleh Sayidina Umar? Adakah Rasulullah s.a.w. lebih kita cintai daripada diri kita sendiri?
Masya-Allah, semuanya masih jauh. Soalan "di mana Rasulullah di hati kita?" adalah satu persoalan yang perlu dijawab dengan jujur oleh setiap Muslim kerana kedudukan Rasulullah di hati kita adalah pengukur kedudukan Allah di hati kita. Di mana Allah di hati kita juga menentukan sejauh mana kebahagiaan, kejayaan, ketenangan, keselamatan dan keharmonian hidup kita di dunia dan akhirat.
Pahrol Mohamad Juoi
Majalah Solusi isu 52
No comments:
Post a Comment