Sunday 28 April 2013

Syafaat Nabi Untuk Semua Umat



akhir-zaman.jpg
Seorang sahabat Nabi SAW bernama Auf bin Malik bercerita, suatu hari Nabi SAW bersabda kepada kami, "Tahukah engkau apa yang telah ditawarkan Tuhanku malam tadi kepadaku?" Kami berkata, "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui."
Rasulullah SAW berkata:

"Allah menawarkan kepadaku sama ada memasukkan sesetengah umatku ke dalam Syurga, atau memberiku syafaat. Aku lalu memilih syafaat."
Kami lalu berkata, "Wahai Rasulullah, mintalah kepada Allah agar menjadikan kami termasuk dalam golongan ahli syafaatmu." Baginda menjawab, "Syafaat ini untuk semua Muslim"[1]
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi dan Ibn Majah ini sengaja saya pilih untuk membuka perbincangan kita tentang syafaat Rasulullah SAW, kerana isinya melahirkan kegembiraan di hati setiap orang yang membacanya.

Makna Syafaat

Secara bahasa, syafaat berasal daripada perkataan al-syaf'u, maknanya "genap" (lawannya ganjil). Syafaat demikian mengandungi makna "menggenapkan" sesuatu, yakni membantu pihak lain melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh dirinya sendiri.
Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab berkata, "Syafaat ialah perkataan seseorang kepada raja untuk meminta hajat bagi orang lain."
Sewaktu kita dibicarakan pada hari pembalasan, maka yang menjadi Raja pada hari itu ialah Allah SWT yang menampilkan diri-Nya sebagai penentu nasib setiap makhluk. Pada hari itu, "Tiada siapa yang dapat memberi syafaat di sisi Allah melainkan dengan izin-Nya." (Surah al-Baqarah 2: 255). Maka hanya hamba-hamba yang sangat dekat kepada Allah sahaja yang memperoleh kehormatan untuk membantu orang lain.
Keyakinan adanya syafaat ini merupakan akidah yang menjadikan pegangan ahli Sunnah wal Jamaah. Al-Qadhi 'Iyad al-Maliki berkata, "Berbagai-bagai athar (hadis) yang keseluruhannya mencapai darjat mutawatir menunjukkan adanya syafaat bagi orang yang berdosa di Akhirat, dan ini menjadi perkara yang telah menjadi ijmak dalam kalangan ulama ahli Sunnah wal Jamaah sejak generasi salaf dan khalaf hingga hari ini."[2]
Al-Qadhi 'Iyad juga menjelaskan bahawa segolongan manusia daripada puak Muktazilah dan Khawarij menolak adanya syafaat ini. Mereka berhujah dengan beberapa ayat al-Quran yang kesemuanya jika diperhatikan dengan teliti, berkaitan dengan orang kafir. Maka ayat-ayat ini tidak boleh dikenakan bagi orang beriman yang melakukan dosa lalu dimasukkan ke Neraka. Hal ini kerana terdapat hadis-hadis Nabi SAW yang mutawatir menjelaskan bahawa syafaat dapat menyelamatkan mereka dengan izin Allah SWT.
Tambahan pula, jika kita perhatikan, syafaat ini sebenarnya tidak lain merupakan salah satu perwujudan daripada sifat rahmat Allah SWT kepada seluruh hamba-hamba-Nya. Rahmat ini diperhatikan melalui hamba-hamba pilihan-Nya untuk menampilkan kelebihan mereka kepada semua manusia yang lain. Jadi yang memberi syafaat sebenarnya adalah Allah SWT sendiri menerusi hamba-hamba kesayangan-Nya.

Syafaat Terbesar


Antara hamba-hamba pilihan itu ialah Baginda Muhammad Rasulullah SAW, satu-satunya hamba Allah yang memiliki al-Maqam al-Mahmud (Maqam yang Terpuji). Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Jabir bin Abdillah, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Aku telah diberikan lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada nabi-nabi sebelumku, (salah satunya) aku diberikan syafaat." (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini tidak bermakna bahawa syafaat hanya dimiliki oleh Rasulullah SAW sahaja dan tidak dimiliki oleh nabi-nabi lain. Namun, apa yang ingin kita bincangkan kali ini adalah tentang sebuah syafaat khas yang ekslusif dimiliki oleh Rasul akhir zaman, iaitu apa yang dikenali dalam ilmu akidah sebagai Syafaat al-'Uzma (syafaat terbesar).
Begitu luas dan besarnya syafaat ini, hingga meliputi semua makhluk.
Syafaat ini dapat melepaskan semua ahli mahsyar yang telah penat kerana seksaan zahir dan batin sekian lama menunggu proses hisab dilaksanakan. Perkara ini bersesuaian dengan sifat Baginda yang diutus oleh Allah SWT sebagai rahmat bagi sekalian alam juga dengan syariat Baginda yang meliputi seluruh manusia.
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Umar r.a.:

"Pada hari kebangkitan, semua umat manusia berlutut, setiap umat akan mengikuti seorang nabi dan berkata kepadanya, 'Wahai polan, tolonglah kami.' Nabi itu terus menolak, hingga mereka mendatangi Rasulullah SAW. Maka pada saat itulah, Allah menempatkan Baginda di al-Maqam al-Mahmud (maqam yang terpuji)." (Riwayat al-Bukhari)
Abu Hurairah dan Anas bin Malik meriwayatkan hadis ini dengan lebih terperinci sebagaimana yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim. Ringkasnya, semua manusia mula-mula akan menemui Nabi Adam, kemudian Nabi Ibrahim, Nabi Musa hingga ke Nabi Isa a.s.. Namun kesemua nabi-nabi ini tidak berani meminta kepada Allah SWT untuk memulakan hisab.
Semua manusia kemudiannya akan menemui Nabi Muhammad SAW. Baginda segera bersujud di bawah Arasy sambil memuji Allah dengan pelbagai pujian yang Allah SWT ilhamkan kepada Baginda.
Beberapa lama kemudian, Allah SWT berfirman kepada kekasihnya ini, "Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu. Mintalah, maka engkau akan diberi. Dan berikanlah syafaat, maka syafaatmu akan diterima." Pada saat itulah, Rasulullah SAW meminta agar Allah SWT memulakan hisab untuk umatnya. Allah, raja hari pembalasan segera mengabulkan permintaan tersebut.

Syafaat untuk Ahli Neraka

Demikianlah syafaat terbesar yang hanya dimiliki oleh Rasulullah SAW. Namun selain syafaat ini, Baginda terus diizinkan untuk memberi syafaat bagi menolong setiap umatnya yang memerlukan bantuan. Di dalam hadis al-Bukhari daripada Abu Hurairah, Baginda bersabda, maksudnya:

"Setiap Nabi memiliki doa yang pasti Allah kabulkan dan aku menyimpan doa tersebut sebagai syafaat bagi umatku di Akhirat nanti." (Riwayat al-Bukhari)
Syafaat ini diperlukan kerana Rasulullah SAW memiliki bilangan umat yang paling ramai dibandingkan dengan nabi-nabi lain dan tidak semua orang daripada umat Baginda yang mencapai kesempurnaan amal. Ramai antara mereka yang terjatuh ke dalam lembah maksiat terutamanya kerana mengikut dorongan hawa nafsu.
Imam al-Hakim meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya:

"Aku melihat apa yang dilakukan umatku setelahku, mereka menumpahkan darah saudara mereka sendiri. Aku berasa sedih melihat hal itu, namun itu telah menjadi ketentuan Allah sebagaimana yang terjadi pada umat-umat lainnya. Aku lalu meminta kepada Allah agar diizinkan untuk memberi syafaat bagi mereka pada hari Kiamat, Allah lalu mengizinkannya." (Al-Mustadrak)
Baginda terus meminta kepada Allah SWT untuk mengeluarkan setiap orang daripada umatnya yang berada dalam Neraka sehingga tiada seorang pun yang tertinggal di tempat itu. Allah SWT mengabulkan syafaat Rasulullah SAW sebagai perwujudan janji-Nya yang Maha Benar, "Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu sehingga kamu menjadi puas." (Surah adh-Dhuha 93: 5).
Al-Qadhi 'Iyadh menyebutkan beberapa bentuk syafaat yang Nabi SAW berikan kepada umatnya. Antaranya, memasukkan sebahagian umatnya ke dalam Syurga tanpa hisab, mengangkat darjat sebahagian yang lain, menyelamatkan mereka dari Neraka bagi orang yang telah diputuskan untuk masuk ke dalamnya dan juga mengeluarkan sebahagian yang lain dari Neraka setelah mereka memasukinya.
Semua syafaat Rasulullah SAW yang pelbagai bentuk itu akan memberi manfaat kepada semua umat Baginda tanpa terkecuali. Umat Baginda ialah setiap orang yang pernah mengucapkan kalimah syahadah dengan ikhlas kerana Allah SWT.
Dalam Sahih al-Bukhari, Abu Hurairah bertanya Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berbahagia dengan syafaatmu?"
Mendengar soalan itu, Baginda menjawab:

"Aku sudah mengagak bahawa engkau akan menjadi orang pertama bertanya tentang perkara ini, kerana kecintaanmu kepada hadis-hadisku. Sesungguhnya manusia yang berbahagia dengan syafaatku pada hari Kiamat nanti ialah orang yang pernah mengucapkan syahadah 'tidak ada tuhan selain Allah' dengan ikhlas dari dasar hatinya." (Riwayat al-Bukhari)
Wasilah
Setelah mengetahui hakikat ini, sepatutnya bagi setiap Muslim berasa diri mereka telah banyak melakukan dosa, maka selalulah mengharapkan bantuan dan syafaat Rasulullah SAW. Justeru, usahakan dengan memperbanyak amalan sunnah dan selalu berselawat, semoga kedua-duanya menjadikan kita layak mendapat syafaat Baginda.
Dalam Sahih Muslim menyebut hadis daripada Abdullah bin 'Amr, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Jika kamu mendengar seruan muazin, maka ucapkanlah seperti ucapannya, lalu berselawat kepadaku. Maka sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat untuknya sepuluh kali. Kemudian mintalah wasilah untukku, sesungguhnya demikan itu ialah suatu tempat di Syurga yang tidak patut didiami melainkan seorang hamba Allah sahaja, dan aku berharap akulah orangnya. Sesiapa yang meminta wasilah untukku, maka ia pasti mendapat syafaatku." (Riwayat Muslim)
_______________
Catatan Kaki:
1. Riwayat at-Tirmizi, kitab Sifat al-Qiyamah no. 2441, Ibn Majah, kitab al-Zuhd no. 4311.
2. Sebagaimana nukilan Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, kitab al-Iman, jilid 3, hal. 31.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...